Saturday, September 19

Mayat budak hampir reput dalam rumah

0

Mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap dalam cubaan ibu bapanya membunuh diri

PETALING JAYA: Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemui hampir reput dalam rumah keluarganya di sebuah pangsapuri di sini semalam.

Kanak-kanak perempuan itu dipercayai mati akibat lemas terhidu asap pada 1 Sept dalam satu daripada beberapa cubaan membunuh diri oleh ibu bapa kanak-kanak itu.

Sehubungan itu polis menahan seorang kontraktor dan isteri bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak perempuan itu, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui rakan pasangan terbabit yang ke rumah mereka pada jam 7.30 pagi semalam setelah kanak-kanak itu tidak hadir ke tadika di kawasan pangsapuri berkenaan sejak Jumaat lepas.

“Pada mulanya wanita itu tidak dibenarkan masuk dan selepas lebih sejam menunggu di luar, anak lelaki pasangan terbabit membenarkan wanita itu masuk.

Beliau melihat pasangan itu sugul menghadap mayat anak perempuan mereka yang terbaring atas tilam dalam bilik di rumah itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, wanita berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada jam 9 pagi.

Arjunaidi berkata siasatan awal polis mendapati pasangan itu cuba membunuh diri akibat masalah kewangan bersama anak-anak mereka (kanak-kanak perempuan itu dan anak lelaki berusia 7 tahun) pada Rabu dan Khamis lepas dengan melemaskan diri dengan membakar arang dalam bilik unit pangsapuri itu dan menutup semua saluran udara.

Kedua-dua cubaan kontraktor berusia 50 tahun dan isterinya berusia 30-an itu gagal, bagaimanapun pada Jumaat mereka menemui anak perempuan mereka mati di bilik itu, katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati pasangan itu bersama anak lelaki mereka ke Pelabuhan Klang untuk membunuh diri selepas kematian kanak-kanak  perempuan itu tetapi dikatakan tidak menemui tempat dan cara yang sesuai.

Arjunaidi berkata mayat kanak-kanak perempuan yang mulai reput itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. — Bernama