Tiada jemputan untuk G5 sertai parti baharu

0

GUNA SEBAIKNYA: Entri (empat kanan) ketika menyerahkan MRP kepada Antonio sambil disaksikan Wilson, Ramli dan yang lain.

Tidak ada jemputan secara rasmi, semua pelawaan hanya melalui surat khabar, kata Entri

MIRI: Tidak ada jemputan secara rasmi setakat ini untuk mana-mana lima bekas pemimpin Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang dikenali sebagai Kumpulan Lima (G5) menyertai lima parti baharu yang diluluskan Jabatan Pertubuhan Pendaftar (ROS) barubaru ini.

Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri Muran berkata semua pelawaan untuk menyertai parti baharu itu hanya melalui surat khabar sahaja.

“Belum ada pelawaan secara rasmi daripada mereka (partiparti baharu), hanya melalui surat khabar,” katanya kepada pemberita semalam di Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada G5 telah menerima pelawaan rasmi untuk menyertai mana-mana parti baharu.

Menurutnya, jika benar parti-parti baharu itu mengaitkan G5 dengan mereka, ia adalah sesuatu yang bagus kerana petanda parti berkenaan tidak melawan Barisan Nasional (BN) “Ia sesuatu yang bagus kerana menunjukkan mereka (parti baharu) tidak melawan kerajaan (BN),” jelas beliau.

Bagaimanapun buat masa sekarang, Entri memberitahu bahawa beliau dan rakan-rakan seperjuangannya masih akan berkhidmat atas nama Kelab BN.

Kata Entri, beliau dan rakanrakan juga berterima kasih kerana telah diberi jaminan oleh Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud masih ada tempat dalam BN.

“Tunggu keputusan untuk masa terdekat nanti, kami (G5) akan beritahu dan walau apapun yang kami lakukan, ia demi memantapkan BN,” ujarnya.

Entri sebelumnya menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada Persatuan Bisaya Negeri Sarawak sebanyak RM10,000, ketua masyarakat Iban Miri sebanyak RM10,000 dan RTM Miri untuk penganjuran Pertandingan Bintang Radio MIRIfm Musim Ke-7 sebanyak RM 30,000.

Turut hadir Residen Miri merangkap Presiden Persatuan Bisaya Antonio Kahti Galis, Ketua Masyarakat Iban Miri Pemanca Wilson Siang dan Pengurus Stesen RTM Miri Ramli Junaidi.