UNIMAS bakal memperluaskan lagi skop pengiktirafan kecemerlangan

0

PENCAPAIAN CEMERLANG: Pasukan yang memenangi Anugerah Inovasi Naib Canselor (dari kiri) Flora Bungan Balang, Latifah Loh Abdullah, Profesor Madya Dr Mohd Ibrahim Safawi Mohd Zain dan Harun Maksom menerima anugerah masing-masing daripada Morshidi. Turut kelihatan Yahaya (tiga kanan), Hatta (dua kanan) dan Mohd Kadim (kanan). — Gambar oleh Chimon Upon

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bakal memperluaskan lagi skop pengiktirafan kecemerlangan dengan memperkenalkan dan menambah baik lagi kategori-kategori bagi Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS (MAGU), iaitu pengiktirafan kepada kecemerlangan kakitangannya.

Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, ia bertujuan meneruskan kesinambungan UNIMAS dalam menggalakkan budaya kerja cemerlang.

Malahan selain itu ia menurut beliau untuk membudayakan inovasi dalam pelaksanaan tugas dan melancarkan operasi universiti seperti yang diharapkan.

“Antara anugerah baharu pada tahun 2014 yang akan kita perkenalkan adalah Anugerah Akademik Universiti, yang menggantikan Anugerah Akademik sedia ada.

“Selain itu, Anugerah Webometrics UNIMAS, yang menggalakkan daya saing yang sihat dalam menghasilkan laman web terbaik selain berinformatif serta menyediakan perkhidmatan berkualiti dan maklumat terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada MAGU 2013 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di UNIMAS di sini, semalam.

Tambah Mohd Kadim, dengan penambahbaikan dan pengenalan kepada anugerah baharu itu ia akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan berterusan ke arah UNIMAS menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti tinggi.

“Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS merupakan acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 2006 bagi mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dan khidmat bakti staf kepada UNIMAS untuk pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan Setia,” katanya.

Bermula pada 2009, buat pertama kalinya UNIMAS memperkenalkan anugerah lain dalam pelbagai kategori seperti Anugerah Tokoh Gemilang UNIMAS, Anugerah Akademik dan Anugerah Pengurusan manakala pada 2011,UNIMAS turut memperkenalkan Anugerah Inovasi Naib Canselor yang sentiasa menjadi anugerah utama rebutan di UNIMAS.

Sementara itu, seramai 179 staf yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sepanjang tahun 2012 dan 80 penerima Anugerah Perkhidmatan Setia sebagai pengiktirafan kepada mereka yang setia berkhidmat dengan UNIMAS secara berterusan selama 15 tahun, diraikan semalam.

Majlis itu turut menyaksikan Morshidi melancarkan UNIMAS Streetview, yang dicipta untuk memudahkan mencari lokasi kampus dalam universiti.

Ia berdasarkan kepada perisian terbuka dan merupakan projek alam maya yang sama dengan View Google Street.

Aplikasi dibangunkan dengan kerjasama tiga fakulti iaitu Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK).

Hadir sama Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Fatimah Abang, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Peter Songan.