Sunday, January 19

Wanita Afrika Selatan ditahan di Senai, 4.9kg dadah dirampas

0

JOHOR BAHARU: Alasan yang diberi seorang wanita Afrika Selatan ketika ditahan di Lapangan Terbang Senai di sini ialah ingin mencari destinasi berbulan madu, tetapi barang yang dibawa ialah dadah jenis Methamphetamine bernilai hampir RM1 juta.

Wanita berusia 22 tahun itu ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor pada jam 11.10 malam Khamis lepas setelah imbasan terhadap sebuah beg troli yang dibawanya menunjukkan objek meragukan.

“Wanita itu tiba di sini dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ini merupakan kali pertama dia memasuki negara ini,” kata Timbalan Pengarah Kastam Johor Abdullah Sidik.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap beg bercorak kotak-kotak berwarna coklat yang dibawa wanita itu, pihaknya menemui dua bungkusan dibalut kertas timah dan dibungkus dengan plastik berwarna coklat yang disorok di bahagian kiri dan kanan beg.

“Kedua-dua bungkusan itu mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai Methamphetamine dengan anggaran berat kasar 4.9 kilogram dan ditaksir bernilai RM931,000,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Abdullah berkata siasatan mendapati wanita itu memulakan perjalanan sejak seminggu lepas dari Johannesburg ke Bangkok, New Delhi dan Chennai sebelum tiba di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

“Wanita yang tiba berseorangan itu memberikan alasan kepada pihak berkuasa bahawa dia datang ke negeri ini untuk mencari destinasi bulan madu,” katanya.

Wanita itu direman sehingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori. — Bernama