Bentuk jawatankuasa pastikan parti tidak guna agama, kaum untuk agenda politik

0

PETALING JAYA: GERAKAN mencadangkan supaya kerajaan membentuk satu jawatankuasa yang dianggotai pemimpin veteran setiap parti politik termasuk pembangkang bagi memastikan mana-mana parti tidak memperguna isu agama dan kaum untuk agenda politik masing-masing.

Pemangku Presidennya Datuk Chang Ko Youn berkata oleh sebab senario itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, beliau bimbang ia akan menggugat perpaduan serta keharmonian negara.

“Sebarang isu kecil boleh dengan cepat bertukar menjadi isu keagamaan dan perkauman yang dieksploitasi oleh pihak tertentu menjadi agenda politik.

“Kami berasakan adalah perlu golongan veteran ini menasihati kami serta pucuk pimpinan parti yang lain bagi mengelak trend itu berlaku selain menyelesaikan masalah secara bersama kerana mereka lebih berpengalaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan GERAKAN Negeri Selangor 2013 di sini, semalam.

Turut hadir Naib Presiden GERAKAN A. Kohilan Pillay dan Pemangku Setiausaha Agungnya Datuk Mah Siew Keong.

Chang berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara itu selepas pemilihan parti-parti komponen Barisan Nasional selesai.

Terdahulu, Chang dalam ucapan perasmiannya berkata kesemua 12 perwakilan parti peringkat negeri di seluruh negara telah selesai menjalankan pemilihan masing-masing.

“Daripada jumlah itu, sebanyak empat pengerusi negeri menang tanpa bertanding dan lapan lagi wujud pertandingan banyak penjuru,” katanya. — Bernama