Wednesday, August 12

Empat penyamun larikan kabel elektrik RM250,000 di Bayan Lepas

0

GEORGE TOWN: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang di Bayan Lepas mengalami detik cemas apabila dikejar empat penyamun bersenjata pisau sebelum diikat dan mulutnya disumbat kain selama tiga jam pada tiang pagar berdekatan premis berkenaan awal semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu, suspek kemudiannya melarikan enam gulung kabel elektrik bernilai RM250,000 yang terdapat dalam kontena simpanan barang di belakang kilang itu.

“Pengawal keselamatan berusia 47 tahun itu hanya ditemui pada jam 6 pagi oleh rakannya yang bertukar giliran bertugas. Walaupun keempat-empat suspek terbabit tidak memakai penutup muka, pengawal keselamatan itu gagal mengecam wajah mereka kerana keadaan terlalu gelap dan kejadian itu berlaku begitu pantas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata suspek dipercayai memasuki kawasan kilang berkenaan dengan memanjat pagar dan gerakan mengesan mereka menjadi sukar berikutan kawasan terlibat tidak dilengkapi kamera litar tertutp (CCTV).

Mohd Hatta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi balai polis berdekatan. — Bernama