LUAS sita 29 bot dalam operasi di Empangan Klang Gates

0

KUALA LUMPUR: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyita 29 bot pelbagai jenis dalam satu operasi penguatkuasaan di Empangan Puncak Niaga Klang Gates, di sini semalam.

Operasi bermula jam 9 pagi bertujuan menangani isu pencerobohan pihak luar di kawasan empangan seluas 4.2 kilometer persegi itu disertai 57 pegawai agensi berkaitan seperti LUAS, Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penolong Pegawai Penerangan LUAS, Mohd Noh Mohd Yusof berkata bot disita di bawah Seksyen 150(3) Enakmen LUAS 1994 itu didapati telah digunakan kaki pancing untuk menceroboh kawasan empangan yang diwartakan sebagai kawasan larangan di Selangor pada tahun 2010.

“Selain menyita, kami juga mengeluarkan notis amaran kepada empat kaki pancing yang ditangkap memancing dalam empangan semasa operasi.

Mereka berusia lingkungan 20-an, merupakan penduduk kampung di sekitar empangan dan kerap kali masuk ke kawasan itu, katanya.

Mohd Noh berkata rasional pihaknya mengadakan operasi itu kerana khuatir berlaku tumpahan minyak dan sisa toksik di empangan berkenaan.

“Tambahan ia merupakan punca air mentah bagi penduduk Lembah Klang jadi sebarang tindakan memancing, memukat, berkhemah, menebang pokok hutan dan membina rakit di sini adalah dilarang sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, demi memastikan tiada pencerobohan, operasi akan diteruskan pada masa akan datang membabitkan lebih banyak keanggotaan dari agensi relevan. — Bernama