Manfaatkan peluang mengerjakan ibadah haji

0

TETAMU ALLAH: Hasbi (tujuh kanan), Mohd Zaini, Dr Rahman dan kenamaan lain bersama bakal jemaah haji sebelum berangkat, di Lapangan Terbang Baharu Limbang semalam.

Jemaah haji perlu menyempurnakan ibadat haji dengan sebaik-baiknya, kata Hasbi

LIMBANG: Jemaah haji yang terpilih untuk menjejakkan kaki di Mekah sebagai tetamu Allah, bukan sahaja beruntung tetapi perlu memanfaatkan peluang terbaik itu untuk mengerjakan ibadah sepenuhnya.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata jemaah haji bukan sahaja berpeluang menjejak kaki di tanah suci tetapi perlu menyempurnakan ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima dengan sebaik-baiknya.

“Buat jemaah haji sempurnakanlah ibadat haji sebaik- baiknya. Buat lebih kita akan mendapat ganjaran dan pahala lebih,” katanya ketika keberangkatan jemaah haji di Lapangan Terbang Baharu Limbang di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, isteri Dr Rahman Dayang Maimunah Daud, wakil Residen Bahagian Limbang Saiful Bahri Alwie, Pengurus Tabung Haji (TH) Limbang Mohd Zaini M.

Hamdi, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Limbang Sazali Dato Sri Abdul Kadir dan Pemanca Alie Jahar.

Sementara itu, Dr Rahman berkata TH diiktiraf sebagai pengendali program haji terbaik oleh Kerajaan Arab Saudi.

Jelas beliau, jemaah haji di negara ini beruntung dan tidak berdepan banyak masalah berhubung ibadat haji.

“Oleh itu, bakal jemaah haji perlu mengikut peraturan seperti yang ditetapkan TH dan kebajikan mereka akan dijaga dan diurus sebaiknya.

“Sempurnakanlah ibadat haji sebaik-baiknya kerana ganjaran pahala yang dijanjikan Allah berlipat ganda dan gunakanlah sepenuhnya untuk beribadat mengikut kemampuan,” katanya.

Dr Rahman turut menasihati bakal jemaah haji agar menjaga kesihatan memandangkan cuaca panas yang melanda kota suci Mekah termasuk kerap meminum air.

Terdahulu, Mohd Zaini menjelaskan bahawa bakal jemaah haji perlu mengambil berat mengenai kad pengenalan dan gelang pengenalan diri selain menjaga buku rawatan sebaiknya.

“Jangan membawa barangan berharga bagi mengelak sebarang kejadian kecurian berlaku,” tambahnya.

Beliau berkata kuota jemaah haji dikurangkan di seluruh Malaysia tahun ini berikutan kerja pembesaran Masjidil Haram yang menyebabkan tempat terhad.

Katanya mereka perlu mengikut arahan petugas TH pada waktu yang ditetapkan terutama ketika berada di Arafah dan Mina.

Seramai 11 bakal jemaah haji terpilih dari Limbang sebagai tetamu Allah pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai tujuh orang dari Limbang dan empat lagi dari daerah Lawas.

Ia melibatkan lima wanita dan selebihnya lelaki.

Mereka akan berangkat dari Limbang ke Miri seterusnya ke Kuching hari ini sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah pada keesokan harinya (Isnin).