Pasukan khas tangani jenayah curi mesin ATM

0

Inisiatif Polis Johor untuk mengatasi kecurian mesin ATM

JOHOR BAHARU: Polis Johor menubuhkan pasukan khas turut dianggotai pihak pengurusan bank bagi menangani jenayah melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negeri ini.

Mengumumkan demikian, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata: “Mesyuarat khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Johor (Datuk Ismail Yatim) akan diadakan bersama pihak bank untuk mencari kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengelak kejadian terbabit (terus) berlaku,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Hospital Sultan Ismail, di sini, semalam, beliau berkata pihaknya dalam masa yang sama akan sentiasa memantau bagi menghalang cubaan terus melakukan jenayah seumpama itu.

Beliau juga berkata terdapat kekurangan dari pihak bank yang menyebabkan beberapa kejadian seumpama itu berlaku sepanjang tahun ini, dengan terbaharu membabitkan usaha melarikan sebuah ATM di Taman Tasek, di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya akan meneruskan Ops Cantas bagi mengesan saki-baki penjenayah di negeri ini.

Beliau berkata polis akan mengeluarkan kenyataan terperinci dalam masa terdekat mengenai pencapaian ops berkenaan setakat ini selain mengeluarkan senarai orang yang dikehendaki.

Terdahulu, Mohd Mokhtar melawat seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Lans Koperal Mohd Redzuan Mustafar yang dirawat di hospital tersebut.

Mohd Redzuan, 32, cedera apabila terjatuh di atas jalan selepas dirempuh sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki yang cuba melarikan diri ketika ditahan polis di Jalan Masai Lama/Kampung Baru Plentong, di sini tengah hari kelmarin.

Kedua-dua lelaki terbabit kemudian berjaya ditahan polis dan pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mereka terlibat dengan penagihan dadah. — Bernama