Pembeli rumah akan dibela

0

LINDUNGI PEMBELI RUMAH: Abang Johari (duduk dua kanan) ditemani (dari kanan) Aidel, Karim dan Chik pada sidang media selepas selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Asajaya 2013-2016 di Dewan Suarah Samarahan, semalam.

Ordinan Pemaju Perumahan yang hanya melibatkan pihak pemaju akan diganti

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Perumahan akan memperkenalkan undang-undang perumahan baharu dalam usaha mewujudkan undang-undang yang komprehensif berkaitan pembangunan perumahan di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata undang-undang baharu itu adalah Ordinan Pembangunan Perumahan yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November nanti.

Beliau menjelaskan bahawa undang-undang baharu itu akan menggantikan Ordinan Pemaju Perumahan yang dilihat hanya melibatkan pihak pemaju.

Namun menurutnya undang- undang baharu itu akan melibatkan semua pihak terutama pembeli selain mengawal harga perumahan yang semakin meningkat saban hari.

“Ordinan Pembangunan Perumahan akan meliputi pembangunan perumahan, kepentingan pembeli dan pengawalan harga.

“Ordinan baharu itu lebih komprehensif, kaedah yang akan digunakan ialah untuk mengawal harga rumah meliputi tanah, binaan dan upah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Asajaya 2013-2016 di Dewan Suarah Samarahan di sini, semalam.

Tambahnya, ordinan baharu itu akan lebih melindungi pembeli rumah berbanding ordinan lama yang diguna pakai sebelum ini.

“Selain itu, kaedah baharu yang akan dipraktikkan ialah pembinaan rumah menggunakan teknologi baharu IBS, bank tanah dan kawasan strategik,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan Temenggung Kota Samarahan Chik Bujang.

Terdahulu, dalam ucapannya perasmiannya, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, dalam usaha mempergiatkan industri pelancongan Sarawak, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM23 juta kepada SABERKAS bagi membina makmal bioteknologi di Kota Samarahan bagi penyelidikan dan pembangunan berasaskan orkid hibrid.

“Industri bunga ini amatlah luas sebab itu makmal berteknologi biotek diwujudkan bagi melahirkan dan melatih generasi muda yang berdaya saing dan berpengetahuan luas selain menarik pelancong untuk datang ke sini (Kota Samarahan),” katanya.