Sekitar Pelayaran Wanita Sarawak Menyusuri Denai Kemerdekaan

0

MERIAH: Lima perahu penambang turut mengiringi Sayang Sarawak menuju ke destinasi utama, Astana Negeri.

PUNCAK PENCAPAIAN WANITA: Fatimah dengan bangga mempamerkan kek lapis Sarawak yang merupakan produk kebanggaan dan identiti negeri Sarawak.

MENYUSURI DENAI KEMERDEKAAN: Fatimah dan Rosey merakam kenangan bersama para peserta semasa menyusuri Sungai Sarawak menuju ke Kampung Gersik.

PELAYARAN WANITA SARAWAK: Seramai 170 orang kaum wanita dari pelbagai latar belakang hidup dan kerjaya menyertai pelayaran dengan menaiki kapal persiaran Sayang Sarawak menyusuri Sungai Sarawak

SERAMAI 170 wanita daripada pelbagai latar belakang hidup dan kerjaya sama ada daripada sektor awam atau swasta berbilang kaum etnik dan pelbagai peringkat usia menyertai Pelayaran Wanita Sarawak Menyusuri Denai Kemerdekaan pada 11 September lepas.

Pelayaran tersebut menyusuri Sungai Sarawak bermula dari ponton BCCK menuju ke Astana Negeri dengan menaiki kapal persiaran Sayang Sarawak.

Turut serta memeriahkan pelayaran tersebut ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus.

Program pelayaran tersebut menggambarkan secara simbolik titik-titik perjuangan wanita di Sarawak selama 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia di samping menggambarkan mercu tanda kemajuan dan puncak pencapaian wanita di negeri ini meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.

Semasa mengalu-alukan kedatangan para peserta, Fatimah memberitahu bahawa dengan berbekalkan iltizam yang tinggi dan melalui sistem sokongan sosial yang kukuh, wanita Sarawak diyakini mampu mencipta nama, merealisasikan impian dan melakar sejarah cemerlang.

Dalam perjalanan menuju ke Astana Negeri, pelayaran tersebut turut melakukan persinggahan ke Kampung Gersik bagi melawat tapak jualan pengusaha kek lapis Sarawak yang disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.