SHEDA tidak berhasrat naikkan harga rumah sehingga 10%

0

Sim Kiang Chok

KUCHING: Setiausaha Agung Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Sim Kiang Chok berkata pihaknya tidak berhasrat untuk menaikkan harga rumah sehingga 10 peratus sebagaimana yang diumumkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA) di Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

Keputusan itu katanya, terlalu membebankan tetapi mengikut rasional ia hanya akan diaplikasikan kepada hartanah yang baharu dibangunkan di lokasi-lokasi strategik terpilih.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan turut menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Mereka yang telah menandatangani perjanjian pembelian rumah sebelum harga minyak dinaikkan, tidak akan mendapat sebarang implikasi sebaliknya hanya akan diaplikasikan kepada hartanah baharu di lokasi strategik terpilih.

“Tetapi sekiranya hartanah anda terletak di kawasan yang kurang strategik maka pemaju tidak mungkin dapat menjual dengan harga kenaikan 10 peratus.

“Sudah tentu pemaju turut memikirkan kos pengangkutan dan bahan mentah ke tapak pembinaan akan naik, mesin yang digunakan di tapak pembinaan juga menelan kos yang tinggi,” katanya ketika ditemui pada Ekspo Perumahan dan Hartanah Sarawak (SARBEX) 2013 semalam.

Tambahnya, pemaju dan kontraktor juga akan mengalami masalah dengan kenaikan harga bahan binaan berikutan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen.

Sementara itu pelbagai aktiviti termasuk Kempen Derma Darah mendapat 40 penyertaan dan lebih daripada 20 kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun bertanding bagi membina model 3D bangunan ternama dunia seperti Eiffel Tower di Perancis dan London Bridge di England.