Daud enggan ulas dakwaan penyelewengan dana TBS

0

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dana Tabung Baitumal Sarawak (TBS) seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini.

Menurutnya beliau tidak akan memberi sebarang komen kerana kes ini kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan itu boleh menjejaskan siasatan.

“Kita tunggu sahaja keputusan siasatan, memandangkan perkara ini sudahpun dilaporkan kepada SPRM.

“Tiada apa yang boleh saya katakan (berhubung perkata itu) dan saya tidak boleh memberi komen kerana ia masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Rumahku Syurgaku Peringkat Negeri di sini semalam.

Daud yang juga pengerusi Lembaga TBS berkata Pengurus BesarTBS Datu Abang Mohamad Shibli Abang Nailie telah memberikan penjelasan mengenai dakwaan itu dalam satu sidang media berasingan yang turut diadakan semalam.

“Saya tidak boleh memberi sebarang jawapan atau mempertahankan diri saya… biar SPRM jalankan kerjanya,” katanya.

Tambahnya lagi semua keputusan membabitkan sumber kewangan TBS dilakukan atas persetujuan ahli-ahli Lembaga TBS, justeru isu tidak telus dalam perbelanjaan dana-dana tidak timbul.

Portal berita berkenaan melaporkan kesemua dana dikumpul TBS dan sumbangan daripada umat Islam dari seluruh negeri ini diurus oleh Daud selaku pengerusi Lembaga TBS.

Dana itu menurut portal berkenaan adalah termasuk pembayaran zakat wajib yang diperoleh daripada orang Islam bagi membantu golongan miskin dan memerlukan.

Bagaimanapun menurut portal itu, banyak wang berkenaan dialihkan kepada projek-projek bangunan utama komersial malah portal itu mendakwa Daud telah mengambil berjuta-juta ringgit daripada dana kebajikan bagi membiayai sekurang-kurangnya  satu projek mega melalui syarikat miliknya Eastbourne Corporation Bhd.

Ekoran laporan itu portal itu, ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Petra Jaya Ramlee Mahtar membuat laporan kepada SPRM meminta agensi penguat kuasa itu menyiasat dakwaan penyelewengan dana TBS.