PBB Asajaya kemuka usul agar Taib kekal menerajui PBB

0

KOTA SAMARAHAN: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Cawangan Asajaya turut mengemukakan usul agar Ketua Menteri Pehin Sri Abul Taib Mahmud kekal menerajui parti itu sebagai presiden pada Konvensyen PBB yang dijadualkan pada 18 hingga 22 Oktober depan.

Ketua Cawangannya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, PBB Cawangan Asajaya sebulat suara mahu agar jawatan itu terus dikekal-kan.

“Selain itu, kita juga mahu jawatan timbalan-timbalan presiden, naib-naib presiden kanan dan naib-naib presiden tidak ditandingi,” katanya ketika membentangkan usul itu pada Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Asajaya di Dewan Suarah Kota Samarahan kelmarin.

Karim turut mengemuka-kan usul menyokong sepenuhnya lima fokus dan teras utama Program Pelaksanaan Pemerkasaan Ekonomi Bumi-putera yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Pada masa yang sama beliau memberitahu bahawa masyarakat Asajaya juga me-nyambut baik usaha kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri dengan dasar politik pembangunan menubuhkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS).

“Oleh itu, PBB Asajaya merayu agar kerajaan dapat menambah bilangan sekolah teknikal dan vokasional di daerah Asajaya selain mempergiatkan kempen serta taklimat mengenai TEGAS dan memberi peluang bantuan TEGAS kepada belia Asajaya,” katanya.

Dalam mesyuarat perwakilan itu kelmarin, Karim sekali lagi kekal sebagai ketua PBB Cawangan Asajaya manakala timbalan ketua menyaksikan muka baharu dipilih iaitu Loton Bujang yang sebelum ini menyandang jawatan naib ketua cawangan.

Sementara itu, jawatan ketua pemuda juga menyaksikan muka baharu dipilih iaitu Awang Mohd Jelan Awang Sijo manakala ketua wanita pula masih kekal disandang oleh Mahani Sahari.