Generasi muda S’wak penting

4

HEBAT: Taib dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib kagum semasa melawat The Summer sambil diiringi oleh Lee (kanan) pada majlis pembukaan rasmi gedung beli-belah tersebut di Kota Samarahan, semalam. — Gambar Jeffery Mostapha

Kreativiti, inovasi dan komitmen percepat proses transformasi ekonomi, sosial: KM

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata sumbangan generasi muda yang kreatif, inovatif dan komited dalam pembangunan dapat mempercepatkan proses transformasi ekonomi dan sosial di negeri ini.

Beliau berkata, ini dibuktikan dengan kemunculan Kota Samarahan sebagai bandar baharu yang pesat membangun lebih awal daripada tempoh disasarkan.

Semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Samarahan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya suatu ketika dahulu, Taib berkata Kota Samarahan merupakan kawasan hutan rimba, tetapi kini muncul sebagai bandar baharu yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Ketika meluahkan impiannya, beliau berkata, pada waktu itu banyak pihak yang kurang yakin, namun tetap memberi sokongan dan berpegang kepada kepercayaan, kerjasama serta perpaduan untuk menjadikan Kota Samarahan tempat jauh lebih maju berbanding dahulu.

“Ini adalah perkara yang saya impikan 20 tahun dahulu ketika saya masih menjadi Ahli Parlimen dan ADUN di sini. Saya sentiasa berdoa agar perkara ini menjadi kenyataan dan ia sudahpun menjadi kenyataan.

“Terima kasih atas sumbangan generasi muda yang baik, bijak, komited serta sangat fo-kus kerana telah merealisasikan impian ini lebih cepat daripada diharapkan,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Gedung Beli-belah The Summer di sini, semalam.

Taib berkata, di Kuching terdapat ramai anak muda dari keluarga yang agak konservatif walaupun kaya, selain komited dan sangat fokus untuk mencipta kejayaan bagi diri sendiri, komuniti, negeri dan negara sekali gus memberi keyakinan bahawa golongan itu boleh membawa lebih banyak pembangunan kepada Sarawak.

Beliau berkata, semua rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa, mempunyai peluang saksama dan persaingan adil untuk berjaya dalam pelbagai bidang.

Menjelaskan perkara itu, Taib berkata, politik pembangunan yang diperjuangkannya selama ini mengetepikan banyak aspek prejudis dan sikap yang hanya mahu menonjolkan sesuatu kaum atau pihak sahaja, sebaliknya menekankan persaingan sihat tanpa perlu berbalah antara satu sama lain.

“Oleh sebab itu, Sarawak lebih harmoni dalam perhubungan pelbagai kaum dan situasi seperti ini mesti dikekalkan agar semua bangsa Cina, Melayu, Iban, Bidayuh dan sebagainya dapat bercampur dengan gembira.

“Pada masa sama, kita boleh memastikan anak-anak boleh melakukan apa yang mereka suka dengan jayanya. Inilah yang dicapai selepas 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia,” ujarnya.

Mengenai pembukaan The Summer, beliau berkata ia antara inisiatif anak muda yang sanggup melabur dalam jumlah yang besar bagi menyediakan kemudahan beli-belah moden serta selesa di Kota Samarahan.

“Tahniah kepada anda, Datuk Lee Chee Fui (Pengarah Urusan Summer Shopping Mall) atas inisatif ini dan kesanggupan menerokai peluang perniagaan di kawasan yang dianggap mundur dengan pelaburan besar untuk kemudahan beli-belah seperti ini yang menyediakan pelbagai keperluan.

“Saya difahamkan pembinaan gedung beli-belah ini akan disusuli penyediaan perkhidmatan hiburan sihat kepada komuniti di sini iaitu pembinaan panggung wayang lima bintang dan Taman Tema Air pertama di negeri ini,” katanya.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengarah Urusan Summer Shopping Mall merangkap Pengarah Urusan Majumas Sdn Bhd Datuk Lee Chee Fui.