Ketabahan Felicia tuntut ilmu membuahkan hasil

0

KUCHING: Semangat mahu mengubah taraf hidup keluarga dan menyediakan tempat yang lebih selesa untuk ibu bapanya menjadi pendorong utama bagi Felicia Louri dari Kampung Telipok, Sabah untuk menimba ilmu sehingga menerima Anugerah Kecemerlangan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Sarawak Ke-9, semalam.

Meskipun terpaksa berjauhan dari keluarga, anak petani yang mempunyai minat mendalam untuk menjadi pelukis pelan seni bina ini tetap tabahkan hati demi memastikan ibu bapanya mempunyai kehidupan lebih baik pada masa depan.

Menurut gadis Dusun dari Kampung Telipok Sabah itu, ketabahannya membuahkan hasil apabila beliau yang tamat pengajian dengan cemerlang pada Jun tahun lepas, berjaya mendapat kerja sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat swasta pada tahun ini.

“Semasa sedang belajar memang sedih sebab terpaksa berjauhan dari keluarga namun saya terus cekal kerana saya tahu kejayaan saya dalam pelajaran pasti membanggakan ibu bapa saya.

“Akhirnya semua pengorbanan semasa belajar membuahkan hasil apabila saya bukan sahaja menerima Anugerah Kecemerlangan, tetapi turut berjaya mendapat kerja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Wilayah Sarawak Ke-9 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muazam Shah (Kompleks Islam Sarawak) di sini, semalam.

Felicia turut merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Politeknik Sabah pada tahun depan, juga dalam kursus Lukisan Pelan Seni Bina.

Sementara itu, graduan Kolej Komuniti Santubong, David Kanyan yang juga merupakan salah seorang penerima Anugerah Kecemerlangan menyifatkan ia merupakan hadiah istimewa buat ibu bapanya.

“Anugerah ini adalah untuk ibu bapa saya yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada saya.

“Saya terdorong untuk belajar sehinga menjadi pelajar cemerlang kerana saya berasal daripada keluarga miskin dan saya mahu menyediakan kehidupan lebih selesa untuk ibu bapa saya yang kedua-duanya petani,” katanya.

Kejayaannya dalam Sijil Pemasangan Elektrik itu juga katanya, sekali gus membuktikan tidak ada yang mustahil sekiranya seseorang cekal dan benar-benar berazam untuk berjaya.

Beliau kini bekerja dengan syarikat pembekal penyelesaian kuasa di sini.