Sunday, September 22

Media Prima bantu baik pulih ‘Teratak Bonda’ buat Hamdiah

0

KUCHING: Media Prima Berhad (MPB) bersama beberapa personaliti TV3 semalam mengadakan aktiviti gotong-royong membaik pulih rumah warga emas, Hamdiah Ramli di Kampung Lintang, Jalan Astana di sini semalam.

Rumah berkenaan dibaiki dengan nilai RM13,000 dan dibiayai sepenuhnya oleh MPB merupakan Program Amal Media Prima sempena karnival Jom Heboh di sini bermula hari ini (28 September) dan esok (29 September).

Kerja-kerja membaik pulih yang terlibat adalah menggantikan atap, mengecat selain menambah sedikit perhiasan dalaman seperti langsir.

Hamdiah yang berusia 60 tahun tinggal di rumah berkenaan lebih 40 tahun dan bersama dua orang anaknya masing-masing sudah berkeluarga.

“Rumah ini sememangnya tempat kami berteduh selama ini, malah sejak saya berkahwin.

“Namun akibat ribut kuat pada Khamis lalu, kesemuanya rosak mengakibatkan bocor dalam rumah,” katanya sambil memberitahu suaminya telah meninggal dunia pada 2005.

Majlis berkenaan disempurnakan Setiausaha Politik Ketua Menteri juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali diiringi Ketua Operasi Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid.

Antara personaliti terlibat Ahmad Fedtri Yahya, Mohd Fasil Idris, Teh Syuhaida Mat Sharip, Hazlin Hussain, Hazrena Mohamed Kassim, Maria Tunku Sabri, Zakiah Anas, Siti Hasfiza Aswaty Sabjahan, Za’im Helmi Zaini, Mior Malek Raiyani, Saiful Nizam Islam, Norliza Mohd Zain dan Aidid Marcello.

Sementara itu, program Jom Heboh berlangsung di Stadium Negeri di sini bermula jam 9 pagi dan pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di gerai-gerai kendalian TV3 seperti Cereka, Studio 3, Wanita Inspirasiku, Bananana!, Wow Bag Booth, Kota Ilmu, Buletin Utama dan Kiosk Perkhidmatan yang menawarkan segala maklumat, cenderamata eksklusif dan promosi program-program TV3.

Acara kemuncak Konsert Jom Heboh yang bersiaran secara langsung dari pentas utama di tapak Karnival pada malam Ahad (29 September) dari jam 9 hingga 10 malam menampilkan persembahan artis popular tanah air iaitu Adira, Mas Idayu, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah dan Candy.

Karnival dijangka dihadiri tetamu kehormat termasuk Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kerja Raya juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof juga Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman dan diiringi pihak pengurusan MPB.