Sekolah mampu penyumbang kuasa sukan kalangan pelajar

0

MIRI: Sekolah bukan sahaja tempat mendidik para pelajar dalam bidang akademik, malah dilihat sebagai penyumbang kuasa sukan di kalangan pelajar.

Menteri Muda Pelancongan dan Kemajuan Tanah, Datuk Gramong Juna berkata melalui aktiviti kokurikulum yang diadakan para pelajar boleh dibentuk serta melahirkan generasi yang berpotensi dalam bidang sukan.

“Sekolah bukan hanya menjadi tumpuan belajar semata-mata, tetapi turut menyediakan ruang serta peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan bakat mereka dalam aktiviti sukan.

“Justeru, ia turut sejajar dengan Kementerian Pendidikan menekankan penglibatan pelajar dalam apa juga aktiviti sekolah tidak kira akademik mahupun kokurikulum agar seimbang dengan intelek, rohani, emosi dan jasmani seseorang pelajar tersebut,” katanya pada perasmian Kejohanan Olahraga Antara Rumah Kali Ke-8 Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin Miri, di sini semalam.

Hadir sama Guru Besar SK Senadin, Wilfred Mac dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Henry Jugah.

Menurutnya, melalui aktiviti sukan terbabit dapat membantu meningkatkan disiplin tinggi kalangan pelajar yang turut merupakan antara resipi untuk mencapai kejayaan.

“Badan yang cergas akan membantu melahirkan otak yang cerdas. Oleh itu, keseimbangan seseorang pelajar dalam akademik dan kokurikulum adalah penting.

“Bahkan, ia mampu membantu meningkatkan disiplin pelajar agar mereka lebih menghargai masa untuk mencapai matlamat dan kejayaan yang jelas demi masa depan yang cerah,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, peranan para guru dan ibu bapa turut penting dalam membantu mendidik para pelajar.

“Selain itu, guru dan ibu bapa juga berperanan penting dalam usaha melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha pihak sekolah dalam membentuk para pelajarnya menjadi atlet yang berjaya sehingga sekolah terbabit mengekalkan kejuaraannya dua kali berturut-turut dalam kejohanan antara sekolah.

“Teruskan usaha anda (pihak sekolah) dalam menjadikan sekolah sebagai landasan untuk para pelajar membangunkan semangat kesukanan dan menyerlah bakat masing-masing,” katanya.

Sementara itu, sejumlah lima buah pasukan iaitu Rumah Rentap, Rumah Rosli Dhoby, Rumah Datuk Patinggi Ali, Rumah Tun Jugah dan Rumah Kanang terlibat pada kejohanan dua hari itu.

Kejohanan tersebut merupakan persediaan untuk kejohanan antara sekolah peringkat daerah yang akan diadakan pada Februari 2014 bagi merebut Piala Datuk Lee Kim Shin.