Peluang sama untuk berjaya

0

LANCAR: Taib menunjukkan buku ‘Sarawak Women In Business: Their Stories’ pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2013 Peringkat
Negeri Sarawak, di Kuching semalam. Turut kelihatan Ragad, Empiang (kiri) dan Fatimah (dua kanan).

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kaum wanita di negeri ini tidak pernah dilayan sebagai kumpulan kelas kedua sebaliknya mereka mendapat peluang yang sama untuk berjaya seperti kaum lelaki.

Beliau berkata, batas pergaulan di antara wanita dan lelaki tidak boleh dijadikan kayu pengukur bahawa wanita mempunyai kedudukan lebih rendah berbanding lelaki.

Menurutnya, walaupun garis pemisah wujud, kemajuan wanita tidak terhad dan mereka terbukti tidak mahu ketinggalan untuk mencapai kejayaan dalam masyarakat.

“Sejarah negara kita, Malaysia dan dalam kalangan masyarakat kita di Sarawak, sifat yang memberi layanan kelas kedua kepada wanita tidak muncul kerana dalam sejarah Sarawak, wanita banyak menyumbang kepada kemerdekaan serta kemakmuran yang dikecapi hari ini.

“Sebenarnya wanita dalam masyarakat kita di sini sama rata seperti kaum lelaki.

Selalunya masyarakat kita cuba memelihara dan melindungi wanita.

Tradisi memisahkan pergaulan wanita dan lelaki dalam masyarakat kita cuma mengehadkan pergaulan, bukannya mereka ditekan oleh kaum lelaki,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita 2013 Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga merangkap pengerusi penganjur majlis Datuk Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani dan isteri Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Empiang Jabu.

Taib berkata, bermula sejak sebelum merdeka dalam Malaysia, beberapa tokoh wanita Sarawak bersama kaum lelaki memperjuangkan kemerdekaan dan ia terbukti dalam penubuhan dua parti politik awal iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS) dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA).

Peranan wanita, katanya, semakin jelas selepas Sarawak merdeka dalam Malaysia apabila mereka membantu kerajaan melancarkan kempen membasmi buta huruf terutamanya di kawasan luar bandar.

Tambahnya, menerusi Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8), RMK9 dan RMK10, wanita di negara ini tidak lagi ketinggalan jika dibandingkan dengan kejayaan kaum lelaki dalam pelbagai bidang.

“Oleh sebab itu, wanita tidak akan ketinggalan dalam usaha pembangunan yang telah dan akan dirangka. Hanya terpulang kepada kemampuan wanita itu sendiri yang akan menentukan siapa yang lebih maju atau setanding kejayaan kaum bapa,” katanya.

Taib menjelaskan, penglibatan wanita dalam pembangunan Sarawak khususnya tidak pernah dan tidak akan berhenti kerana mereka kini dilihat sebagai rakan kongsi penting kaum lelaki untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Perubahan corak pekerjaan ekoran pertumbuhan pesat sektor perindustrian, ujarnya, menuntut perubahan kelayakan dan latihan melibatkan wanita di negeri ini.

“Pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal dan wanita tidak terkecuali merebut peluang kerjaya ditawarkan di situ.

“Kini penglibatan wanita dalam pasaran pekerjaan tidak hanya terhad kepada bidang yang lazimnya dikaitkan dengan kaum itu, tetapi ramai mula melibatkan diri dengan kerjaya yang didominasi lelaki sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, penglibatan wanita dalam kerjaya lelaki tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada kaum Adam, sebaliknya satu persaingan sihat dan jalinan kerjasama terbaik untuk hasil lebih membanggakan.

Taib bagaimanapun mengingatkan kaum wanita terutama yang bekerjaya agar tidak mengabaikan aspek lain seperti keperluan sosial anak-anak dan penjagaan kesihatan.

“Kesibukan wanita hari ini menyebabkan timbulnya masalah obesiti dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. Ini adalah disebabkan amalan hidup yang tidak sihat ditambah dengan pengambilan diet tidak seimbang.

“Pengurusan keselamatan dalam kalangan wanita juga perlu untuk melahirkan wanita bekerjaya dan mewujudkan masyarakat sihat,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut diberi penghormatan melancarkan buku ‘Sarawak Women In Business: Their Stories.’

Turut diadakan penyerahan simbolik netbook daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada Ketua Menteri.

Sebanyak 1,464 netbook diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diagihkan ke seluruh perpustakaan di negeri ini.