KABONG: Penganjuran Regata Kabong merupakan strategi promosi pelancongan yang mampu mengangkat Daerah Kecil Kabong menjadi satu destinasi pelancongan yang terkemuka di negeri ini.
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) dan Menteri Muda Perumahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata regata tersebut merupakan pelengkap kepada produk-produk pelancongan sedia ada.
“Penganjuran seiring pesta air atau regata ini bersama Pesta Kabong akan mewujudkan satu suasana yang positif dalam melibatkan penyertaan kepada semua peringkat baik aktiviti sukan, hiburan, ekspo pertanian, masakan tempatan, kebudayaan dan sebagainya.
“Harapan kita dengan penganjuran aktiviti seperti ini, pengunjung luar mahupun masyarakat setempat akan memanfaatkan aktiviti-aktiviti sepanjang pesta dilangsungkan untuk berinteraksi serta berkongsi perasaan muhibah di antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Perasmian Regata Kabong 2013 di Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Kabong, semalam.
Tambahnya, pesta air juga adalah satu program yang efektif untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.
“Ini terutamanya untuk masyarakat menghayati dan menghargai perkara yang berkaitan dengan air serta sungai, khususnya kepentingannya dalam aktiviti harian seperti bidang pembuatan, pembinaan, pertanian, pelancongan dan sebagainya.
“Aktiviti ini juga, kita lihat mampu memberi peluang kepada pemilik-pemilik bot mempamerkan kreativiti mereka untuk mereka cipta bot yang laju, canggih dan berkuasa tinggi,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap semua aktiviti dijalankan pada sepanjang pesta ini mampu memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Sekitar 5,000 masyarakat membanjiri Tebingan Sungai Kabong menyaksikan pertandingan lumba enjin pam dan perahu kayuh.
Sehubungan itu, Abdul Karim berharap dengan penganjuran pesta ini mampu melonjakkan sumber pendapatan dan sosioekonomi penduduk setempat, terutama mereka yang telibat dalam aktiviti perniagaan.