Tuesday, September 24

Penduduk Senadin Jaya diminta sokong projek pembangunan k’jaan

0

MIRI: Penduduk Kampung Senadin Jaya diingatkan terus memberi sokongan padu terhadap semua projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk manfaat masa depan mereka.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Sebagai contoh, kita bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei sejak beberapa tahun lalu untuk memberikan lot bagi membolehkan mereka mendirikan rumah baharu di tempat yang lebih selesa,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bertemu Rakyat di Kampung Senadin Jaya, semalam.

Bagaimanapun, beliau agak kecewa kerana terdapat penduduk yang enggan berpindah ke lokasi baharu menyebabkan projek pembangunan yang dirancang di kawasan lama tersebut tertunda.

“Kita tidak meminta penduduk berpindah jauh dari lokasi sekarang, cuma mereka perlu berpindah ke lokasi baharu bagi memberi laluan pembinaan kemudahan seperti jalan raya.

“Sebahagian daripada rumah ini sekarang terletak terlalu hampir dengan jalan utama yang kita rancang untuk bina pada masa depan.

“Projek ini untuk kebaikan penduduk di sini juga, justeru saya berharap penduduk memberi kerjasama,” katanya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menyerahkan rumah yang dibina Persatuan Penyayang Miri dengan kerjasama Kelab Rotary Miri kepada Stephen Gending Kudi.

Dalam hal ini, Lee memuji usaha Persatuan Penyayang Miri dan Kelab Rotari Miri dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

“Saya berharap lebih banyak organisasi dan pertubuhan tampil untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu lebih ramai golongan dan keluarga yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Kelab Rotary Miri menyampaikan cek bernilai RM4,500 kepada Persatuan Penyayang Miri untuk membantu membina semula rumah Stephen.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Penyayang Miri, Pemanca Wilson Siang Lim dan Timbalannya Karambir Singh serta Presiden Kelab Rotary Miri William Tan.