S’wak membantu membentuk Malaysia bukan menyertai Malaysia

1

TAMBAH ILMU: Wong (kiri) sambil diperhatikan yang lain membaca risalah sejarah semasa mengunjungi
Pameran 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Sibu, kelmarin.

SIBU: Fakta sejarah yang menyatakan bahawa Sarawak menyertai Malaysia adalah tidak benar dan ia harus diperbetulkan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh.

Sebaliknya jelas beliau, Sarawak telah membantu untuk membentuk Malaysia.

“Kesilapan itu harus kita perbetulkan dan harus diperbetulkan oleh pihak-pihak yang berkaitan.

“Kita perlu meletakkan fakta sejarah yang betul dan tepat untuk kita membentuk dan menjadi sebahagian daripada Malaysia.

“Dalam erti kata lain, Sarawak tidak menyertai Malaysia kerana Malaysia belum wujud lagi pada masa itu.

“Menurut fakta sejarahnya sebelum ini, Sarawak dilaporkan telah menyertai Malaysia dan banyak masyarakat menganggap Sarawak masuk Malaysia.

“Sebenarnya, fakta yang betul dan tepat adalah Sarawak membantu membentuk Malaysia dan tarikh 16 September adalah hari sebenar Hari Kebangsaan kita.

“Pembentukan rasmi Malaysia adalah jatuh pada tarikh 16 September 1963,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Sibu di Pusat Warisan Sibu di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Setiausaha MPS Hii Chang Kee, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Muhamad Rais Abdullah serta ketua-ketua masyarakat.

Pameran yang mempamerkan kisah-kisah/gambar sejarah berkaitan kemerdekaan negeri ini berlangsung selama seminggu di pusat tersebut dan dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang.

Acara 10 hari itu dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Sibu.

Ditanya sama ada terdapat usaha-usaha kerajaan memperbetul kesilapan tersebut, beliau berkata: “Ini akan dilakukan secara beransur-ansur kerana melibatkan kajian yang teliti berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh.

” Wong yang juga Menteri Kanan dan Menteri Kewangan Kedua turut teringat akan peristiwa pada 22 Julai 1963 di mana bendera Union Jack diturunkan manakala bendera Sarawak dinaikkan buat pertama kalinya.

“Malah, Sarawak merdeka dari 22 Julai hingga 16 September bagi tempoh 68 hari apabila Malaysia diwujudkan.

“Ini sebahagian daripada sejarah yang mungkin banyak masyarakat tidak tahu,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa pameran yang diadakan itu adalah berbentuk ilmu serta pengetahuan yang dikongsikan kepada orang ramai untuk melihat sejarah, peristiwa bersejarah serta pelbagai peringkat pembangunan yang telah berlaku di negeri ini.

Ini katanya, adalah satu platform untuk memupuk kesedaran generasi muda mengenai apa yang telah berlaku kepada negeri ini dan negara sebelum mencapai kemerdekaan.

“Oleh itu, generasi muda tidak boleh mengambil ringan tentang soal kemerdekaan.

“Segala keamanan, keharmonian dan pertumbuhan ekonomi yang pesat sekarang adalah hasil usaha keras mereka yang terdahulu yang sanggup mengorbankan nyawa demi menuntut kemerdekaan.

Dalam pada itu, Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan turut menggesa para pelajar sekolah mengunjungi pameran itu yang disifatkannya sebagai satu pendidikan sejarah.