Ibu maut, empat lagi parah

0

Kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa.

Dalam kemalangan membabitkan Kacil dan Vigo

LAHAD DATU: Seorang maut manakala empat yang lain parah selepas kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu-Tawau, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Lailah Hassim, 43, dan merupakan penumpang yang duduk di bahagian hadapan akibat kecederaan parah pada bahagian anggota badan.

Manakala, empat yang parah ialah pemandu Perodua Kancil dikenali sebagai Shazreen Farah Ain Muhammad, 17, serta tiga penumpang yang berada di bahagian tempat duduk belakang, berusia 11 hingga 30an.

Difahamkan, Shazreen adalah anak kepada mangsa yang maut dalam kemalangan itu. Sementara, tiga penumpang terbabit termasuk kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu dipercayai turut mempunyai pertalian keluarga dengan kedua-dua mangsa nahas terlibat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ASP Bong Khuet Khuin berkata siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berpuca ketika kenderaan Perodua Kancil yang dinaiki oleh kesemua mereka sedang dalam perjalanan dari arah Tawau menghala ke Lahad Datu.

Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di satu selekoh di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil dikatakan telah hilang kawalan lalu memasuki ke laluan bertentangan sebelum bertembung Toyota Vigo yang berada di laluan itu.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua bahagian hadapan kenderaan remuk teruk. Namun, pemandu Vigo yang merupakan seorang lelaki berusia 36 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya sambil menambah, ketika kejadian cuaca dalam keadaan hujan renyai.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan masih dijalankan. Dalam pada itu, mayat mangsa termasuk kesemua mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Lahad Datu (HLD),” katanya.