Monday, August 19

Laporkan segera kegiatan jenayah di sempadan

0

SALAM: Mohd Nazir (depan) sambil diiringi Tiopan bersalaman dengan anggota TDM dan TNI pada majlis Penutupan Patroli Terkordinasi di Pekan Badau, Kalimantan Barat, Indonesia, semalam.

Kerjasama antara rakyat dengan pihak berkuasa bagi memelihara keselamatan penempatan mereka amat penting

BADAU (KALIMANTAN BARAT): Rakyat yang tinggal berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia perlu melaporkan kegiatan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak berkuasa dengan segera.

Panglima 3 Briged Infrantri Malaysia Brigedier Jeneral Mohd Nazir Mami berkata, kerjasama antara rakyat dengan pihak berkuasa bagi memelihara keselamatan kawasan penempatan mereka adalah amat penting.

“Tindakan tegas wajar dilakukan terutama oleh rakyat di kawasan Lubok Antu sekiranya mengetahui aktiviti pembalakan haram atau jenayah-jenayah lain berlaku di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai Majlis Penutupan Patroli Terkordinasi Satgas Pamtas YONIF 403/WP Bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) di Padang Bola Sepak, pekan Badau, Kalimantan Barat, Indonesia, di sini semalam.

Mohd Nazir berkata, hasil kerjasama operasi Patroli Terkordinasi antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan TDM, kawasan sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat adalah selamat dan bebas daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.

TDM dan TNI bekerjasama di bawah MALINDO melancarkan operasi bersama Patroli Terkordinasi bagi siri 1/2013 yang dipertanggungjawab kepada Briged Ketiga Infantri Malaysia dan KOREM 121 ABW.

Operasi siri tersebut menyaksikan penglibatan 13 RAMD iaitu unit naungan 3 Briged dan YONIF 403 Wirasada Pratista (YONIF 403 WP) naungan KOREM 121 ABW.

Sementara itu, Patroli Terkordinasi dilancar pada 21 September lalu dan berakhir semalam (Isnin) melibatkan 46 anggota tentera TNI dan TDM dalam operasi itu.

Mereka melakukan rondaan sejauh 43 kilometer sepanjang sempadan tersebut.

Pada majlis itu, Komandan Resor Militer 121 Alambhana Wanawai (KOREM 121 ABW)  Kolonel Infantri Tiopan Ari Tonang mengumumkan operasi bersama Patroli Terkordinasi tamat sepenuhnya jam 11.45 pagi semalam.

Turut hadir Pegawai Memerintah 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) Kem Pakit Leftenan Kolonel Zamsari Abu Hasan dan Komandan Batalion YONIF 403 WP Leftenan Kolonel Infantri Renal Aprindo Sinaga.