Pembangkang Semenanjung perlu fahami keadaan Sarawak

0

MIRI: Pihak pembangkang dari Semenanjung Malaysia perlu memahami keadaan sebenar di Sarawak sebelum menuduh kerajaan gagal melaksanakan pembangunan di sini.

Menteri Muda Perhubu-ngan Datuk Lee Kim Shin berkata, pihak pembangkang umpama tin kosong yang hanya berbunyi untuk mendapatkan perhatian dan sokongan daripada rakyat, namun hakikatnya mereka tidak memahami situasi di sini.

“Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya membuat andaian bahawa kebanyakan kawasan di Sarawak terutama di luar bandar dan pedalaman tidak akses dengan jalan raya dan tidak dapat dihubungi oleh kenderaan.

“Saya berpendapat mereka ini tidak membuat kajian sebaliknya membuat kenyataan dengan membuta-tuli.

“Tahukah mereka Sarawak berbeza dengan negeri di Semenanjung, malah saiz Sarawak sendiri pun me-nyamai keseluruhan negeri di sana,” katanya.

Lee berkata demikian bagi mengulas Kempen Impian Sarawak yang dilancarkan oleh DAP pada 11 September lalu yang bertujuan mengubah pemikiran pengundi di luar bandar, yang sebelum ini cenderung mengundi Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRK).

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kempen itu diharap memberi impak dengan mendapat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri 2015 sekali gus mengambil alih kepimpinan Putrajaya pada PRU14.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, parti tidak dapat menerima bahawa rakyat di sini masih tiada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan walaupun hasil pendapatan negeri masing-masing mencecah RM4.7 bilion dan RM6.63 bilion pada 2012 dan 2011.

Lee menambah, pemimpin parti pembangkang harus turun padang sendiri dan memahami betapa sukarnya melaksanakan pembangunan khususnya di kawasan pedalaman yang mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit dan bergunung.

Tegasnya, walaupun meng-alami cabaran namun kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur demi keselesaan rakyat.

“Pembinaan jalan raya di kawasan pedalaman sedang dan akan terus dilaksanakan.

“Selain itu, kerajaan turut mengambil alih jalan balak yang ditinggalkan oleh syarikat pembalakan untuk kegunaan penduduk di kawasan itu,” katanya.

Tambahnya, jalan tersebut akan diselenggara oleh penduduk kampung dengan mendapat bantuan dana daripada kerajaan.