Monday, September 23

Penduduk kawasan rendah harus waspada risiko banjir

0

Mereka harus berhati-hati terutama dengan kenaikan paras air dalam keadaan cuaca yang tidak menentu

MIRI: Penduduk yang tinggal di kawasan rendah di Lambir dinasihati agar sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir kilat, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan kerap hujan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat mengingatkan penduduk kampung khususnya di pinggir pantai dan kawasan tebing sungai supaya berhati-hati terutama dengan kenaikan paras air yang mendadak.

“Saya mengingatkan penduduk di kawasan tanah rendah khususnya di Bakam, supaya sentiasa berwaspada dengan kenaikan paras air dan arus sungai yang deras.

“Bagi mereka yang tinggal di tebing-tebing sungai serta tanah tinggi, perlu peka dan berjaga-jaga terutama apabila hujan turun serta berlarutan beberapa hari, mungkin menyebabkan berlakunya tanah runtuh,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, Ripin mahu ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan anggota RELA di setiap kampung melakukan pemantauan dan sentiasa memaklumkan keadaan dan perkembangan kepada penduduk kampung khususnya rumah-rumah yang terletak di kawasan berisiko tinggi seperti di tepi sungai, laut dan tanah tinggi.

“Selain itu, setiap pasukan JKKK dan RELA di setiap kampung perlu kerap melakukan rondaan bagi memastikan penduduk bersiap sedia dan jika berlaku banjir kilat atau tanah runtuh, penduduk terbabit dan pasukan JKKK serta RELA dapat bertindak pantas untuk berpindah segera ke tempat lebih selamat,” tambahnya.

Menurut Ripin, di konstituensi Lambir kawasan kerap dilanda banjir ialah Kampung Sungai Dalam, perkampungan nelayan Kuala Bakam, Kampung Bakam, Kampung Kejapil dan kawasan perumahan di Taman Tunku.

Justeru, beliau mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya memaklumkan segera kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan apabila menyedari paras air di kawasan mereka semakin naik bagi mengelak keadaan lebih buruk apabila berlaku banjir kilat.

“Bagi penduduk di kawasan Kampung Beraya dan pengguna jalan raya, saya juga mengingatkan mereka supaya berhati-hati dengan insiden tanah runtuh yang mungkin boleh terjadi jika hujan lebat turun berterusan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ripin yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri meminta agar agensi berkaitan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) supaya sentiasa bersiap sedia dengan kemudahan bagi membantu penduduk kampung yang mungkin memerlukan bantuan mereka jika berlaku kecemasan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para nelayan di kawasannya supaya sentiasa mendengar hebahan radio mengenai keadaan cuaca khususnya keadaan ombak di laut, sama ada sesuai atau berbahaya untuk mereka turun menangkap ikan.

Ripin berkata para nelayan yang mahu turun ke laut perlu pergi dalam satu kumpulan dan jangan berseorangan kerana jika ada sesuatu berlaku maka mereka masih dapat bergantung dengan rakan-rakan untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu semalam, Jabatan Meterologi Bahagian Miri meramalkan hujan lebat berlaku di beberapa tempat di bahagian ini manakala angin kencang dan laut bergelora dengan ombak setinggi empat meter dijangka berlarutan sehingga esok dan keadaan ini amat berbahaya bagi bot-bot kecil dan aktiviti perikanan atau perkapalan.