Penjaja gagal patuhi undang-undang akan diberi amaran keras

0

CARI PENYELESAIAN: Tiong (tengah) semasa mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS di Sibu, semalam.

SIBU: Semua penjaja di Pasar Sentral Sibu yang didapati gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan diberi amaran keras.

Pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata pihaknya mendapati ramai penjaja tidak menjalankan perniagaan mereka secara kerap di situ.

Tegasnya, MPS memberikan mereka lesen perniagaan untuk mencari rezeki tetapi ada segelintir penjaja tidak menjalankan operasi perniagaan mereka setiap hari.

“MPS ingin mengeluarkan amaran keras kepada mereka supaya menjalankan perniagaan harian secara tetap atau harian.

“Penjaja terbabit diberikan notis untuk memberi tunjuk sebab diikuti dengan pembatalan lesen mereka,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusinya Daniel Ngieng, Setiausaha MPS Hii Chang Kee serta ahli-ahli yang lain.

Beliau berkata terdapat 1,095 penjaja di pasar tersebut menjalankan operasi mereka di situ yang merupakan pasar terbesar di negara ini.

Beliau berharap para penjaja menghargai apa yang disediakan oleh MPS untuk mencari rezeki.

“Kami menghargai usaha yang dilakukan oleh ketiga-tiga persatuan penjaja yang sedia ada dalam membantu MPS memastikan pasar tersebut dijaga dengan baik.

“Ini menjadi satu kemestian kerana Pasar Sentral Sibu merupakan tempat tumpuan yang sering dikunjungi pengunjung dari luar Sibu,” katanya.

Sementara itu, Tiong memberitahu bahawa Borneo Talent Award akan diadakan dari 21 hingga 24 November depan di Dewan Suarah Sibu.

Beliau berkata MPS menerima tujuh permohonan untuk pertandingan itu setakat ini.

Mereka yang berminat boleh memuat turun borang penyertaan di laman www.smc.gov.my.