Tuesday, September 26

Pesta Limbang 2013 julang nama bandar Limbang

0

SELAMAT BERTANDING: Dr Abdul Rahman (tiga kiri) melepaskan acara bot laju di Tebingan Dataran Jubli Emas sambil disaksikan Gustian (kiri), Selamat dan Hamdiah (dua kanan) di Limbang kelmarin.

LIMBANG: Penganjuran Pesta Limbang 2013 selama tiga hari bermula 27 hingga 29 September lalu berjaya mengangkat dan memperkenalkan nama Limbang kepada pengunjung luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata dalam tempoh tersebut seramai 80,000 pengunjung tempatan dan luar hadir membanjiri Dataran Jubli Emas dan Tebingan Limbang menyaksikan pelbagai acara termasuk Regata Limbang.

Beliau menjelaskan, jumlah tersebut meningkat daripada sasaran awal yang hanya menjangkakan kehadiran 50,000 pengunjung dari Limbang, Lawas, Brunei, Labuan dan Sabah.

“Pesta Limbang 2013 amat dinanti-nantikan bukan sahaja bagi orang Limbang, tetapi dari wilayah-wilayah berhampiran membabitkan Brunei, Lawas, Sabah dan Labuan.

“Kehadiran lebih 80,000 pengunjung itu ternyata berjaya memperkenalkan keunikan Limbang kepada orang luar khususnya dalam aspek pelancongan,” katanya ketika menangguhkan penutupan Pesta Limbang 2013 di sini petang kelmarin.

Hadir sama Timbalan Residen Limbang Selamat Jati, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Setiausaha Majlis Daerah Limbang Gustian Durani dan jemputan lain.

Dr Rahman berkata, banyak keistimewaan penganjuran pesta kali ini khususnya dalam memperkembangkan aktiviti perniagaan dan ekonomi penduduk setempat daripada industri kecil-kecilan sehingga perniagaan besar.

“Banyak manfaat yang boleh dinikmati pesta ini, bukan sahaja sebagai aktiviti bersantai untuk keluarga malah memberi peluang meningkatkan aktiviti perniagaan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) serta perkhidmatan, restoran, hotel dan lain-lain,” tambahnya.

Jelas beliau, melalui aktiviti seperti ini Limbang berpotensi sebagai produk pelancongan berjaya dipromosikan bagi menarik kemasukan pengunjung tempatan dan luar.

Beliau turut gembira dengan limpahan projek pembangunan yang diumumkan Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta Menteri Perancang Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada pesta tersebut.

Dr Abdul Rahman optimis pelaksanaan projek terbabit termasuk peruntukan RM10 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan memacu pembangunn daerah ‘karabau’ yang terletak di utara negeri ini.

Mengenai pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Limbang, beliau berkata ia satu lagi projek berimpak tinggi bakal membuka jalan baharu yang menghubungkan kawasan-kawasan terlibat khususnya di seberang sungai.

“Jalan baharu ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya yang  dihadapi penduduk di sini kerana pada masa ini kita tidak mempunyai jalan alternatif lain khususnya ke Brunei.

“Selain itu, jambatan tersebut akan mempercepatkan pembangunan di zon Bandar Baharu Limbang,” katanya.