Sunday, September 22

Sarawak utamakan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik

0

Taib

KOTA SAMARAHAN: Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM merupakan isu yang terus menjadi keutamaan Sarawak dalam usaha mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib berkata, Sarawak ketika ini sedang melalui banyak pembangunan dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) umpamanya memerlukan 343,000 tenaga kerja mahir dan profesional menjelang tahun itu.

Malangnya menurut Taib, tenaga kerja yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri adalah datang dari luar bandar yang mana kebanyakan daripada golongan ini agak pemalu dengan subjek STEM.

“Buat masa ini, Sarawak telah berjaya mengeluarkan 9,000 hingga 10,000 tenaga kerja mahir daripada 76 institusi yang ada di negeri ini.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu berusaha keras dalam membekalkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan industri yang membangun dengan begitu pesat lagi di Sarawak.

“Bagi tujuan itu kita memerlukan polisi yang lebih liberal bagi membenarkan orang asing menyertai ekonomi kita dan membuka lebih banyak institusi di luar bandar serta semi bandar seperti Betong, Kapit, Kanowit, Serian, Mukah, Marudi dan Lawas bagi tujuan latihan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Festival Antarabangsa STEM atau STEMFest 2013 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Jelas Taib lagi, tidak dapat dinafikan lagi bahawa kemahiran STEM amat penting dalam pertumbuhan ekonomi global masa kini kerana tanpa kemahiran STEM ia seperti kita tidak berupaya untuk memperkembangkan industri.

“Ramai pakar-pakar membangkitkan kebimbangan ini (kekurangan tenaga kerja mahir STEM) dan Sarawak umpamanya perlu mengupah tenaga kerja mahir dari Semenanjung Malaysia dan luar negara bagi menampung kekurangan yang dihadapi oleh industri.

“Sarawak ketika ini sedang bekerja keras untuk menampung kekurangan tenaga kerja mahir memandangkan keperluan pelaburan di Samalaju dan Mukah di bawah SCORE adalah di luar jangkaan kita,” ujar Taib.

Mengulas mengenai program tersebut, Taib berkata penganjuran STEMFest di Sarawak amat bertepatan dengan usaha Sarawak untuk melaksanakan pembangunan berasaskan industri yang baharu dimulakan beberapa tahun lepas.

“Saya dimaklumkan bahawa ada enam persidangan akan dilangsungkan sepanjang STEMFest mulai 29 September hingga 8 Oktober 2013.

“Antaranya, Persidangan Pendidikan Sains dan Teknologi Sedunia, Persidangan Tenaga dan Teknologi Hibrid Sedunia, Keselamatan Sains, Industri dan Pendidikan Sedunia, Persidangan Antarabangsa Kerjasama Transnational dalam Pendidikan STEM, Sesi Pendidikan Khas Sains Hutan dan Persidangan Pelaburan Antarabangsa Borneo.

“Topik-topik ini menunjukkan ia bukan sekadar persidangan tetapi peluang berguna kepada tenaga pengajar di Sara-wak untuk mempelajari STEM dengan berjaya,” katanya.

Oleh kerana STEMFest menghimpunkan ratusan penceramah STEM, profesor terkemuka, penasihat sains yang memenangi hadiah Nobel iaitu Aung San Suu Kyi termasuk peserta pameran daripada organisasi aplikasi perisian dan banyak lagi, Taib berharap peserta tempatan yang terlibat akan mengunakan peluang ini dengan sebaiknya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Presiden Global STEM States Incorporated David Goncalves dan Naib Canselor UNIMAS Profeso Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.