Thursday, September 19

Sokongan Embun Kiara terhadap Pesta Padawan perlu dicontohi syarikat lain

0

BERAMAL: Lo (tengah) menjadi saksi dalam majlis penyerahan sumbangan kebajikan yang turut diadakan pada Pesta Padawan 2013.

KUCHING: Sokongan padu Embun Kiara (S) Sdn Bhd terhadap Pesta Padawan perlu dicontohi syarikat swasta lain untuk bekerja rapat  dengan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi menganjurkan aktiviti untuk masyarakat di kawasan itu.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, langkah itu bukan sahaja menguntungkan masyarakat tetapi juga menguntungkan syarikat yang terlibat.

“Saya berterima kasih kepada Embun Kiara atas kesudian menganjurkan program ini bersama MPP yang dilihat menguntungkan semua pihak.

“Justeru, kita amat menggalakkan penyertaan daripada syarikat swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menganjurkan aktiviti seperti ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pesta Padawan di pekarangan parkir kereta, Bandar Baharu Batu Kawa di dekat sini kelmarin.

Lo memberitahu, menerusi penganjuran aktiviti seumpama itu, ia dapat menjadi platform kepada masyarakat untuk meluangkan masa bersama keluarga dan mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat di situ.

Selain itu, katanya ia juga dapat menyediakan tempat untuk peniaga mempromosikan produk sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Jika ada syarikat swasta lain yang ingin menganjurkan aktiviti seumpama ini, maklumkan kepada kami di MPP untuk menjayakannya bersama,” ujarnya.

Dalam pesta itu, pelbagai persembahan, pertandingan dan aktiviti menarik dianjurkan termasuk cabutan bertuah.