Siasat, kenal pasti individu hina Pesta Limbang

0

LIMBANG: Pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti individu yang berselindung di sebalik kepesatan teknologi dengan menyebarkan fitnah dan hasutan mengenai Pesta Limbang 2013 melalui Facebook, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail yang menyelar tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit mahu perbuatan itu ditangani agar ia tidak berulang.

“Kita minta pihak berkuasa iaitu polis dan SKMM agar mengambil tindakan tegas dan jangan biarkan mereka terlepas begitu sahaja bagi mengelak orang lain melakukan perkara sama,” ujarnya ketika dimnta mengulas mengenai isu itu semalam.

Kelmarin, satu laporan polis dibuat oleh masyarakat Bisaya di sini mengenai perbuatan menghina Pesta Limbang 2013 dalam akaun Facebook oleh individu tidak bertanggungjawab dengan menyiarkan komen ‘org bodoh sj mau prgi pesta limbang’ (Orang bodoh sahaja mahu pergi Pesta Limbang).

Susulan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Daerah sekitar jam 10.23 pagi kelmarin.

Rata-rata orang ramai turut menyuarakan bantahan ke atas akaun Facebook berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Dr Rahman berkata, perbuatan individu tidak bertanggungjawab dan berselindung di sebalik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh menimbulkan banyak mendatangkan kesan negatif jika tidak dibendung segera.

“Kata-kata menghina, menghasut dan memfitnah yang dikeluarkan melalui akaun Facebook terbabit sebenarnya menunjukkan kedangkalan individu itu sendiri.

“Ia seolah-olah memberi gambaran sebenar individu terbabit yang tidak suka kepada kemajuan dan menolak pembangunan,” katanya lagi.

Beliau juga yakin orang ramai tidak akan terpengaruh dengan hasutan berkenaan kerana mereka sudah matang dan dapat menilai apa yang dilakukan kerajaan selama ini untuk membangunkan masyarakat dan negara.