Audit: PPIP gagal mencapai sasaran

0

KUCHING: Program Pembangunan Industri Padi (PPIP) gagal mencapai sasaran 70 peratus pengeluaran sendiri beras pada akhir 2010 di Sarawak.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyatakan menerusi Jabatan Pertanian Negeri Sarawak, PPIP mencapai 53.9 peratus atau 137,439 tan metrik. Penggunaan sebenar di Sarawak ialah 255,190 tan metrik beras.

“Tahap self-sufficiency beras tidak tercapai kerana kekurangan peruntukan (hanya 30 peratus diterima) untuk tujuan pembangunan infrastruktur ladang dan kemudahan pengairan dan saliran, pembangunan baharu kawasan estet mini padi dan kawasan jelapang padi serta khidmat mekanisasi padi.

“Bagi pembangunan kawasan jelapang padi, cuma 3,073 hektar daripada keseluruhan kawasan berpotensi (43,821 hektar) yang telah siap dibangunkan dengan infrastruktur pengairan dan saliran,” kata laporan itu.

Selain itu, kegagalan dikatakan timbul ekoran kebanyakan padi ditanam adalah padi tradisional dan pengurusan sawah masih juga secara tradisional.

Penanaman padi varieti moden tidak dapat dilakukan sebab kekurangan infrastruktur pengairan dan saliran dan juga ketiadaan bekalan benih padi sah di Sarawak.

Penurunan keluasan penanaman padi bukit juga antara faktor kegagalan.

Ia berlaku apabila tanah digunakan untuk menanam pokok getah dan kelapa sawit yang dikatakan lebih menguntungkan.

PPIP dirangka sebagai strategi pembangunan untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi.

“Jabatan menjangka sasaran tahap self-sufficiency beras 70 peratus boleh dicapai melalui pengeluaran beras secara komersial dengan menggabungkan bidang sawah berskala kecil menjadi penanaman secara blok dan estet mini,” kata laporan itu.

Selain itu jabatan menambah baik tanah dan infrastruktur, meningkatkan pengeluaran purata sehektar padi sawah daripada 2.9 tan metrik kepada 5 tan metrik.

Turut diusahakan ialah meningkatkan produktiviti padi sawah berskala kecil 59,344 hektar dan produktiviti padi bukit 68,784 hektar serta meningkatkan pendapatan keseluruhan petani berskala kecil melalui aktiviti pertanian luar musim.

Objektif PIPP di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) juga adalah untuk mencapai sasaran produktiviti padi daripada 2.9 tan metrik sehektar kepada 5.0 tan metrik sehektar pada 2010.

Sekali gus ia meningkatkan pendapatan serta taraf hidup petani.

Manakala pencapaian kewangan pada akhir RMK-9, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membelanjakan RM235.03 juta atau 93.1 peratus daripada peruntukan RM252.48 yang diterima daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk PPIP.