Wanita dakwa ditipu RM1.7j

0

SIBU: Seorang wanita mendakwa dirinya ditipu sebanyak 1.7 juta oleh seorang lelaki yang kononnya seorang pengurus sebuah bank dari Hong Kong sejak bulan Mei hingga September lepas.

Menurut laporan, pengadu berumur 54 tahun dan berketurunan Cina tersebut pertama kali menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Zhang.

Lelaki tersebut memberitahunya bahawa dia telah berhutang sebanyak RM888,000 dalam bentuk cukai seperti mana yang dinyatakan melalui faks mengikut arahan Kerajaan Hong Kong dan Mahkamah Hong Kong pada 9 Mei tahun ini.

Bimbang masalah itu akan menjadi lebih rumit, pengadu telah membuat pembayaran secara berperingkat- peringkat melalui satu akaun bank seperti yang diarahkan sejak 2 Mei hingga 29 September lalu.

Difahamkan, dalam usaha membuat pembayaran tersebut, pengadu turut mengeluarkan emas seberat lebih tujuh kilogram yang disimpan di sebuah peti keselamatan sebuah bank di sini.

Pengadu dipercayai membuat beberapa transaksi dengan menggunakan hasil jualan emas berkenaan dan selebihnya menggunakan wang yang diperolehi daripada suaminya.

Bimbang dirinya ditipu, pengadu dan suaminya telah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Yap Hoi Liong membantu mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini, pagi semalam.