Kerajaan sedia pelbagai program tingkat kemahiran belia, kata Fatimah

0

MUKAH: Kerajaan menyediakan pelbagai program latihan kemahiran vokasional di peringkat sijil dan diploma untuk golongan belia di negara ini, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, latihan kemahiran tersebut boleh diperolehi di institusi-institusi vokasional atau teknikal tajaan kerajaan atau pusat-pusat badan berkanun dan sektor swasta.

“Bagi mereka yang berminat dalam bidang teknikal, latihan kemahiran jangka pendek dan jangka panjang ada disediakan oleh sektor awam.

“Antaranya program kemahiran belia anjuran Institut Kemahiran MARA dan Institut Kemahiran Belia Negara (program-program keusahawanan dan perdagangan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan) dan latihan kejururawatan dan pembantu perubatan anjuran Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kerjaya anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah di Menara Pehin Setia Raja di sini, semalam.

Fatimah berkata, usaha menentukan kejayaan masa depan, justeru beliau menyeru belia khasnya pelajar agar mengenali diri sendiri ketika membuat pemilihan kerjaya.

“Semasa membuat pemilihan kerjaya yang bersesuaian dengan diri, para pelajar perlulah terlebih dahulu mengenali diri sendiri.

“Jika tidak, akan berlaku kesilapan dalam pemilihan kerjaya. Jika ini berlaku mereka tidak akan mencapai kepuasan dalam apa yang mereka lakukan,” jelasnya.

Turut hadir Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad, Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili, Pegawai Pendidikan Daerah Mukah Bugin Ragoon serta yang lain.