Utusan Borneo raih tujuh kemenangan anugerah Shell Kenyalang

0

DIIKTIRAF: Jabu menyampaikan piala kepada Phyllis Wong selepas dinobatkan Tokoh Kewartawanan Kenyalang Shell 2013, malam kelmarin. Turut kelihatan Lo (dua kiri) dan Tang (kiri). — Gambar Kong Jun Liung

KUCHING: Utusan Borneo merangkul tujuh kemenangan daripada lapan kategori yang dipertandingkan untuk bahasa Melayu pada Majlis Penyampaian Anugerah Media Shell Kenyalang (KSPA) 2013 di sini, malam kelmarin.

Kemenangan itu turut merangkumi anugerah baharu diperkenalkan pada tahun ini iaitu kategori Berita Iban.

Antara kategori yang dimenangi Utusan Borneo ialah Kesihatan, Alam Sekitar serta Perniagaan dan Ekonomi.

Bagi kategori Perniagaan dan Ekonomi kesemua tempat pertama hingga ketiga dirangkul Utusan Borneo.

Tempat pertama dimenangi Patricia Gari dengan artikel bertajuk ‘Sawit berpotensi besar dalam penghasilan biomas’ dengan membawa pulang RM1,500, manakala tempat kedua Jeremy Lanson Jeffry Renos dengan artikel ‘Sistem Mimamori-Kun Isuzu perbaiki operasi syarikat’ sekali gus membawa pulang RM800.

Manakala tempat ketiga, Agnes Tugong yang menerima RM500 dengan artikel bertajuk ‘Industri arowana positif untuk terus dimajukan.’

Bagi kategori Anugerah Penulisan Kesihatan, wartawan Agnes mendapat tempat kedua dengan artikel ‘Kaedah intervensional radiologi dalam tangani komplikasi diabetes’ dan membawa pulang RM800, sementara Patricia yang mendapat tempat ketiga dengan artikel bertajuk ‘Benarkah penyakit mental tak boleh diubati?’ menerima RM500.

Manakala bagi kategori Alam Sekitar, wartawan Utusan Borneo Miri, Clare Cinderella mendapat tempat kedua kategori berkenaan dengan artikel ‘Larangan pembakaran terbuka dikuat kuasa,’ ‘Kebakaran merebak hingga 12 hektar,’ ‘Jerebu di Miri serius’ dan ‘Jerebu di Miri semakin pulih’ dan menerima RM800.

Sementara itu, Jacqueline Radoi David mendapat tempat ketiga bagi kategori bahasa Iban dengan membawa pulang RM500, dengan artikelnya ‘Kedu Bergelar Lang Ngindang Seiku Ketuai Bansa Iban Ari Skrang, Pematak Kayau Ngelaban Rajah’ (Siri 1 dan 2).

Selain Utusan Borneo, See Hua Group yang terdiri dari Borneo Post, The Sunday Post dan See Hua Daily News turut merangkul beberapa anugerah pelbagai kategori bagi bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

The Borneo Post dan The Sunday Post menyaksikan sebanyak 12 pemenang daripada lapan kategori dipertandingkan.

Bagi Anugerah Wartawan untuk laporan berita tempat pertama dan ketiga disapu bersih oleh wartawan The Borneo Post iaitu tempat pertama Geryl Ogilvy Ruekeith dengan membawa pulang RM1,500, sementara Peter Sibon di tempat kedua (RM1,000) dan ketiga, Wilfred Pilo (RM500).

Selain itu, bagi kategori Perniagaan dan Ekonomi, tiga tempat teratas juga dimenangi oleh wartawan The Borneo Post iaitu Ronnie Teo yang menerima RM1,500, Puthankattil Krishnan Venu di tempat kedua (RM800) dan Jonathan Wong, ketiga (RM500).

Anugerah Sukan juga menyaksikan ketiga-tiga pemenang dari The Borneo Post iaitu Cheng Lian Hiok mendapat tempat pertama untuk menerima RM1,500, Philip Wong (RM800) bagi tempat kedua sementara Ting Tieng Hee (tempat ketiga), RM500.

Bagi Anugerah Wartawan untuk Rencana, Karen Bong (The Sunday Post) mendapat tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai RM2,500.

Selain itu, Joana Yap membawa pulang RM1,500 selepas dinobatkan tempat pertama Anugerah Penulisan Alam Sekitar.

Manakala bagi Anugerah Laporan Kesihatan, Geryl Ogilvy Ruekeith merangkul tempat kedua dengan membawa pulang RM800.

Bagi bahasa Cina, See Hua Daily News pula menyaksikan 11 kemenangan daripada semua kategori yang dipertandingkan.

Selain itu, anugerah tertinggi iaitu Tokoh Kewartawanan Kenyalang Shell 2013 diberikan kepada Pengurus Besar Operasi The Borneo Post dan Utusan Borneo Phyllis Wong.

KSPA anjuran Sarawak Shell Berhad dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

Hadir sama Pengerusi Shell Malaysia Iain Lo dan Presiden FSJA Adrian Tang.