Akauntan diragut ketika hendak ke tempat kerja

0

KUCHING: Seorang akauntan membuat laporan polis setelah diragut dua lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya pagi semalam.

Mangsa, 25, difahamkan semasa kejadian berjalan seorang diri di Jalan Sherif Masahor sebelum didatangi oleh dua lelaki menggunakan sebuah motosikal sekitar jam 11 pagi.

Seorang daripada suspek kemudian telah meragut beg tangan mangsa dan mengugut akan mencederakan mangsa jika cuba melawan mereka.

Insiden tersebut disaksikan seorang lelaki yang kemudian cuba membantu mangsa namun diugut akan ditikam dengan pisau jika menghalang mereka melarikan diri.

Kedua-dua suspek kemudian terus memecut laju dari tempat kejadian.

Antara yang terkandung di dalam beg mangsa adalah wang tunai RM8,000, beberapa keping cek, sebuah telefon bimbit dan dokumen peribadi.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.