Saturday, May 28

Bangunan lama milik JKR Limbang musnah terbakar

0

LIMBANG: Sebuah bangunan lama yang merupakan pejabat milik Jabatan Kerja Raya (JKR) berhampiran Lapangan Terbang Lama Limbang hangus dijilat api dalam kebakaran malam kelmarin.

Jurucakap JKR Limbang berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam disedari oleh anggota askar yang bertugas di kem berhampiran apabila asap tebal menyelubungi bangunan berkenaan sebelum bertindak menghubungi bomba.

Beliau menjelaskan, punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas dan kerugian masih lagi dalam siasatan.

“Api mulai merebak di bahagian tengah bangunan, namun anggota bomba berjaya mengawal api dalam tempoh 30 minit,” jelasnya.

Beliau berkata, bahagian dalam dan belakang bangunan berkenaan turut rentung dijilat api.

Selain pejabat di bahagian hadapan, bangunan berkenaan turut dijadikan stor barang dan tayar yang ditempatkan di bahagian belakang.