Gadis hendak duduki SPM hilang sejak Isnin

0

Elizaberth

SIBU: Kegagalan seorang gadis berumur 17 tahun pulang ke rumah sejak Isnin lalu membuatkan abangnya bingung kerana bimbang adiknya tidak dapat menduduki peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November depan.

Pengadu, Edwin Donny Siggie, 26, tidak dapat mendiamkan diri kerana adik perempuannya yang dikenali sebagai Elizaberth Momay Sigie, 17, gagal dikesan sejak keluar dari rumah mereka di Taman Kenari 3 di sini.

“Adik saya sudah hilang dan belum pulang ke rumah sejak Isnin lalu. Dia akan menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi saya tidak mahu dia terlepas menduduki SPM kelak,” katanya ketika membuat laporan polis di Kaunter Khidmat Pelanggan di Balai Polis Sentral Sibu, kelmarin.

Edwin berkata, usaha mencari adiknya menemui jalan buntu apabila dia tidak pulang ke rumah sejak dia keluar pada jam 3 petang Isnin lalu.

Katanya, ibu bapa mereka kini berada di Kapit dan mereka juga bimbang melepas menerima berita tentang kehilangan Elizaberth.

Menurut Edwin, adiknya tidak membawa beg pakaian dan tiada sebarang pertelingkahan antara mereka tercetus kebelakangan ini.

Walaupun dia (Elizaberth) sering keluar bersama rakan-rakan sebaya, namun dia tetap akan pulang selewat-lewatnya antara jam 9 dan 10 malam, katanya.

“Saya kurang pasti sama ada dia mempunyai teman lelaki namun saya amat bimbang dia akan menghadapi SPM November depan. Ia amat penting baginya,” katanya.

Katanya, pelbagai usaha untuk mencari adiknya, termasuk meminta pertolongan daripada saudara-mara, rakan-rakan adiknya telah dilakukan, tetapi mereka masih buntu mencari Elizaberth.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Elizaberth diminta menghubungi Sarjan Bahram menerusi talian 019-8590346 atau Balai Polis Sentral Sibu 084-336144 atau mana-mana balai polis berhampiran.