JSJ Kunak tahan suspek kegiatan curi kenderaan

0

Radzali (dua dari kanan) sedang memerhati dan memeriksa salah sebuah kenderaan.

KUNAK: Polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah ini telah menahan seorang lelaki tempatan yang dikehendaki JSJ Lahad Datu kerana disyaki terlibat secara aktif dalam kegiatan curi kenderaan di daerah Lahad Datu, dekat sini, pagi Isnin.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 30an itu ditahan kira-kira jam 7 pagi di kawasan Jalan Giram Lama Kunak.

Ketua Polis Daerah Kunak, DSP M Radzali Mahmud berkata bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota JSJ daerah Kunak telah bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek yang mana pada ketika itu suspek dilihat sedang berlegar-legar di kawasan lorong bangunan rumah kedai di kawasan terbabit.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan dan diserahkan ke IPD Daerah Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah tangkapan itu dibuat hasil daripada Ops Bersepadu SJR seiring dengan pelaksana Ops Cantas.

Mengulas lanjut mengenai Ops bersepadu SJR yang diadakan bermula pada 7 Oktober lalu di Kilometer 19 Jalan Kunak-Lahad Datu, bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari, Radzali berkata pihaknya telah menahan seramai tiga lelaki warga asing berumur 20 hingga 40 tahun selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika diminta berbuat demikian.

Ketiga-tiga lelaki terbabit kini ditahan di bawah Akta Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Secara keseluruhannya, pihak kita juga telah membuat pemeriksaan terhadap 60 lelaki, 20 wanita dan 75 buah kenderaan pelbagai jenis serta mengeluarkan sebanyak 30 keping saman trafik kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalulintas yang dikesan,” katanya.

Beliau berkata Ops Bersepadu SJR selama dua minggu itu turut melibatkan seramai tiga pegawai kanan dan 15 anggota daripada pelbagai cawangan termasuk Sukarelawan Simpanan PDRM yang diketuai oleh beliau sendiri.

“Ops SJR bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa seiring dengan pelaksanaan Ops Cantas yang telah pun diaktifkan di seluruh negara bagi membanteras kegiatan kongsi gelap dan pencegahan jenayah secara amnya,” katanya.