Lima lelaki disyaki anggota Geng Yazid dicekup polis

0

SIBU: Lima lelaki dipercayai anggota Geng Yazid yang diburu polis sejak kebelakangan ini berjaya ditangkap selepas kad pengenalan milik empat daripada mereka ditemui tercicir di rumah mangsa yang diceroboh oleh mereka, baru-baru ini.

‘Kecuaian’ itu memudahkan pihak polis mengesan dan akhirnya mencekup kelima-lima suspek termasuk ketua geng terbabit.

Menurut sumber, pihak polis di Kuching telah memaklumkan kepada polis Sibu mengenai pertemuan kad pengenalan penjenayah tersebut.

Dan setelah diperiksa butir-butirnya, kesemua pemegang kad pengenalan yang ditemui itu merupakan orang yang dicari oleh mereka selama ini.

Mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an hinga 30-an dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes jenayah seperti kes pecah rumah, curi kereta, ragut dan dadah.

Difahamkan, ahli kumpulan ini sering menaiki bot ekspres berulang-alik antara Sibu dan Kuching untuk menjual barangan hasil curi di sekitar Sibu kepada pembeli di bandar raya itu.

Sumber itu berkata, geng itu tidak serik-serik melakukan jenayah di mana mereka berada, malah mengambil kesempatan untuk mencerobohi sebuah rumah ketika berada di Kuching.

Tetapi kesilapan besar mereka ialah tercicir kad pengenalan di rumah dicerobohi yang akhirnya membawa kepada penangkapan mereka.

Sejak itu, satu siasatan dan gerakan memburu suspek dirancang dan akhirnya mereka berjaya ditahan di Kampung Hilir, pagi kelmarin.

Polis percaya penangkapan lima suspek itu telah menyelesaikan beberapa kes pecah rumah, ragut dan curi kereta di Sibu.

Polis juga akan merujuk tiga daripada lima suspek yang positif dadah kepada jabatan narkotik selepas menjalani ujian air kencing semalam.