Saturday, September 19

Pekerja pembinaan maut tergiling dalam mesin pembancuh simen

0

SANDAKAN: Seorang pekerja pembinaan maut setelah tergiling di dalam mesin pembancuh lori simen, dalam kejadian di tapak pembinaan rumah Kampung Cahaya Baru, Batu 3, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Devi Rashede Ensoi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.36 pagi.

Sejurus itu, sebuah jentera bomba dengan 10 anggota termasuk beliau bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 9.49 pagi.

Bagaimanapun, menurut Devi, sebaik sampai di lokasi, pihak ambulans mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Difahamkan ketika kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Bakis Jaujan, 37, masuk ke dalam pembancuh itu untuk mencuci mesin terbabit. Rakan mangsa yang tidak mengetahui mangsa berada di dalam mesin pembancuh telah menghidupkan lori berkenaan menyebabkan mangsa digiling di dalam pembancuh berkenaan.

Pihak bomba dan pekerja tapak pembinaan terpaksa memotong rod besi mesin untuk mengeluarkan mangsa daripada mesin pembancuh berkenaan.

Operasi ditamatkan pada jam 10.38 pagi.