Pemimpin ASEAN mula mesyuarat

0

BANDAR SERI BEGAWAN: Pemimpin ASEAN memulakan perhimpunan dua kali setahun mereka di ibu negara Brunei Darussalam semalam untuk membincangkan perkembangan usaha merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015.

Pengerusi Sidang Kemuncak Sultan Hassanal Bolkiah mengetuai pemimpin dari sembilan negara dan Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh untuk upacara tradisi bergambar sebelum ke bilik mesyuarat di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Berakas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-23 dan beberapa sidang kemuncak yang berkaitan dengannya yang berlangsung hari ini (semalam) dan esok (hari ini).

Pemimpin ASEAN yang menghadiri Sidang Kemuncak itu termasuk Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Presiden Filipina Benigno S.Aquino, Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra dan Presiden Myanmar U Thein Sein.

Brunei, yang menjadi tuan rumah siri pertama daripada dua sidang kemuncak itu pada April, memilih tema ‘Our People, Our Future Together’ (Rakyat Kita, Masa Depan Kita Bersama).

Pemimpin berkenaan dijangka menerima pakai beberapa dokumen penting dalam sidang kemuncak, termasuk Pernyataan Bandar Seri Begawan mengenai Visi Komuniti ASEAN Selepas 2015 yang dicadangkan Malaysia dalam usaha ASEAN untuk menghurai dan mengembangkan visinya pasca-2015.

Le berkata Sidang Kemuncak ke-23 menjadi tahun yang amat produktif bagi pewujudan Komuniti ASEAN.

“Bagi 2014, kami akan menumpukan usaha mempercepatkan pelaksanaan baki sasaran untuk dicapai pada 2015 dan memastikan lebih tumpuan diberikan terhadap tiga teras komuniti — keamanan, kestabilan dan pembangunan — dan pada masa sama terhadap keadaan dan kuasa pemacu masing-masing,” katanya.

Pada tengah hari, pemimpin ASEAN akan mengadakan Sidang Kemuncak tahunan dengan China, Jepun dan Korea Selatan, sebelum mengadakan  Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat yang pertama.

Bagaimanapun, Sidang Kemuncak kali ini hilang tarikannya apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama membatalkan lawatan beliau ke rantau ini berikutan krisis pentadbiran AS dan akan diwakili Setiausaha Negara John Kerry.

ASEAN, dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam dan Thailand, dengan jumlah populasi 617 juta iaitu kira-kira 8.8 peratus populasi dunia. — Bernama