PPM Tawau gagalkan cubaan seludup rokok

0

DUA anggota PPM Tawau menunjukkan kepada media rokok-rokok yang berjaya dirampas.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok pelbagai jenama ke daerah ini apabila merampas 58,400 batang rokok pada Selasa lepas kira-kira jam 8.30 malam selepas dipercayai ditinggalkan penyeludup.

Komander PPM Sabah, ACP Mohammad Madun, berkata pihaknya berhasil merampas rokok-rokok jenama Fit Mild Menthol sebanyak 25,600 batang, Astro Merah 20,000 batang dan 12,800 batang Djarum Black yang dianggarkan bernilai kira-kira RM61,000.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kastam dan kita percaya kesemua rokok ini diseludup masuk dari Indonesia untuk dipasarkan di sekitar Daerah Tawau,” katanya di sini kelmarin sambil mendedahkan rokok-rokok terbabit dirampas di pesisir pantai Batu 7 (kawasan tambak).

Mohammad berkata pihaknya mengesyaki rokok-rokok itu ditinggalkan penyeludup yang berada di lokasi terbabit sebelum empat anggota PPM Tawau yang menjalankan rondaan dan pemantauan Op Landai menggunakan bot ronda menghampiri kawasan berkenaan.

Beliau berkata anggotanya mengesan dua suspek yang mencurigakan dan berada di kawasan berhampiran rokok-rokok seludup terbabit ditemui, namun kedua-dua suspek melarikan diri menaiki sebuah kenderaan sebaik menyedari kehadiran PPM Tawau.

“Pemeriksaan lanjut yang diadakan di kawasan terbabit akhirnya menemukan anggota kita dengan beberapa bungkusan plastik hitam yang kemudiannya dikenalpasti mengandungi bungkusan-bungkusan pelbagai jenama rokok,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan, Mohammad berkata PPM Sabah akan terus menggiatkan operasi membanteras aktiviti penyeludupan rokok dari negara jiran khususnya Filipina dan Indonesia berikutan kenaikan harga rokok di negara ini.

Beliau berkata langkah itu juga termasuklah dengan usaha meningkatkan operasi dan pemantauan menerusi Op Landai untuk menangani kegiatan penyeludupan keluar-masuk barangan bersubsidi dan larangan di negara ini.

“Kita mengharapkan kerjasama dan saluran maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan daripada masyarakat setempat dalam usaha untuk membanteras kegiatan sebegini,” katanya.