Wednesday, July 17

Unit Integriti ditubuhkan di setiap agensi kerajaan

0

SIMBOLIK: Md Yahaya diiringi Mohd Tap (dua kanan), Amer (kiri) dan Timbalan Naib Cancelor UNIMAS Profesor Fadzil Abdul Rahman (kanan) menandatangani tinta integriti sempena Forum Gerakan Pemantapan dan Pengukuhan Integriti di Kuching, semalam.

Ia akan memantau isu-isu tatatertib, pengurusan kewangan, sistem penyampaian perkhidmatan awam

KUCHING: Unit Integriti akan ditubuhkan di setiap agensi kerajaan dengan keutamaan adalah terhadap agensi berisiko tinggi rasuah seperti badan penguat kuasa.

Menurut Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh, unit tersebut akan berperanan memantau isu-isu tatatertib, pengurusan kewangan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Ini merupakan satu daripada inisiatif baharu Ketua Setiausaha Negara dan ia kini telah dilaksanakan di sesetengah agensi  untuk memantau isu-isu tatatertib, pengurusan kewangan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam seperti yang dikehendaki masyarakat.

“Setakat ini, pegawai-pegawai yang akan memantau unit ini sedang menjalani kursus di pusat latihan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang sempena Forum Gerakan Pemantapan dan Pengukuhan Integriti anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, SPRM dan IIM.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Bomba Datuk Amer Yusof.

Dalam pada itu, Mohd Tap Salleh berkata penubuhan Unit Integriti tersebut juga merupakan proses berterusan di mana ia membabitkan semua agensi kerajaan.

“Saya menjangkakan semua agensi akan menubuhkannya tetapi ia adalah mengikut masa kerana pegawai mereka perlu menjalani latihan,” katanya.

Sementara, Md Yahaya menyeru kakitangan agensi kerajaan persekutuan termasuk negeri ini supaya menghindari gejala-gejala tidak sihat seperti rasuah sebaliknya bersama-sama membanteras jenayah dan salah laku yang berkait rapat dengan integriti bagi memastikan agenda dan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Sekiranya kita hilang integriti, ia akan membantutkan perjalanan pelaksanaan agenda kerajaan dan menimbulkan impak negatif kepada diri, keluarga, organisasi dan negara.

“Integriti bukan hanya digalakkan tetapi sesuatu yang dituntut,” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya menunjukkan etika dan moral yang baik daripada aspek keterampilan, budi bahasa, menepati masa, cepat, cekap dan telus dalam melaksanakan tugas supaya memberi keyakinan kepada masyarakat untuk menerajui pelaksanaan dasar kerajaan.