Warga emas hilang ditemui keletihan dalam belukar

0

KABONG: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak pergi ke kebunnya yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya sekitar jam 3 petang Selasa lepas terjawab apabila beliau ditemui dalam keadaan keletihan dan terpinga-pinga di kawasan belukar di sebuah kebun di kampung terbabit, pagi semalam.

Saniah Mut, 76, berasal dari Kampung Perpat di sini ditemui semula pada kira-kira jam 8.40 pagi.

Dalam kejadian tersebut, pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Saratok yang menerima laporan kes tersebut melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang juga melibatkan penduduk kampung.

Sementara itu, suaminya, Morshidi Ahap, 75, bersyukur dengan penemuan isterinya selepas hampir 20 jam kehilangannya.

“Alhamdulillah, beliau selamat meskipun ditemui dalam keadan keletihan dan kesejukan kerana keadaan cuaca dan berada semalaman di kawasan kebun,” ujarnya.

“Saya amat bersyukur bila mendapat panggilan daripada salah seorang penduduk kampung memberitahu isteri saya sudah ditemui semula di sebuah kebun tidak berapa jauh dari rumah kami.

” Tambah beliau, usaha mencari dilakukan sejak petang semalam di sekitar kawasan kebun berdekatan hutan tempat isterinya dipercayai hilang, namun tidak berhasil sehingga laporan polis dibuat sejurus menjelang petang kejadian.

“Apapun operasi mencari dihentikan sementara pada sebelah malam tadi (malam kelmarin) disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan operasi diteruskan semula menjelang pagi ini (pagi semalam) sehingga beliau ditemui,” jelasnya.