Wednesday, October 23

Ibu dan anak lelakinya menerajui dua sayap UMNO di bahagian Beluran

0

BELURAN: Dua sayap UMNO bahagian Beluran diterajui ibu dan anak iaitu ketua Wanita disandang Endang Datu Asibi manakala anaknya Samad Jambri menerajui ketua Pemuda pada pemilihan sayap parti yang berlangsung Sabtu lepas.

Endang, 62, mengekalkan jawatan itu manakala Samad, 39, Setiausaha Sulit kepada Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee pertama kali memegang jawatan ketua Pemuda.

Bagi Samad, pembabitan ibunya dalam politik sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya untuk turut sama dalam bidang itu.

“Pertalian keluarga ini sudah tentu akan meng-eratkan hubungan kekeluargaan dalam UMNO di bahagian Beluran,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Samad menyifatkan kemenangan itu bukan untuk bermegah, Samad berkata beliau kini perlu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Saya akan menggunakan pengalaman selama ini khususnya ketika bertugas di Parlimen Beluran bagi melaksanakan aktiviti membabitkan golongan muda.

“Saya juga akan mengenal pasti program sosial dan ekonomi yang sesuai dilaksanakan oleh golongan ini bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup,” katanya. — Bernama