Wednesday, October 16

Noh: Jangan tubuh pasukan pada pemilihan untuk elak perpecahan

0

KUALA SELANGOR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar menasihati calon-calon pada pemilihan parti supaya tidak menu-buhkan pasukan tertentu demi menjamin perpaduan parti.

Beliau berkata penubuhan pasukan dikhuatiri boleh menimbulkan perasaan kurang senang atau tidak puas hati kepada calon lain.

“Pasukan yang kalah mungkin jadi pembangkang dalam bahagian-bahagian dan perkara ini tidak bagus untuk perpaduan parti,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan penyampaian anugerah cemerlang kepada lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia dari Parlimen Tanjung Karang di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berharap UMNO Pusat dapat mengatasi masalah yang timbul semasa pemilihan kepimpinan sayap dan bahagian Sabtu lepas sebelum pemilihan Majlis Tertinggi diadakan Sabtu ini.

Noh yang mempertahan jawatan Ketua Bahagian Tanjung Karang berkata UMNO bahagian itu telah mengadakan 11 program jelajah bagi memperkenalkan 63 calon Anggota Jawatankuasa Bahagian kepada para perwakilan termasuk pencabar beliau pada kali ini Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohamed. — Bernama