SMF bantah larangan guna perkataan ‘Allah’ dalam buletin The Herald

0

KUCHING: Sarawak Ministers’ Fellowship (SMF) berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang melarang penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam buletin Roman Katolik, The Herald adalah salah dan melanggar jaminan kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Dalam kenyataan akhbarnya, SMF turut mendakwa keputusan itu menghalang umat Kristian mengikut mandat yang tertulis dalam Al-Kitab.

“SMF amat terkejut dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam yang memutuskan buletin Roman Katolik dilarang menggunakan perkataan ‘Allah’ merujuk kepada Tuhan.

“Komuniti Kristian secara keseluruhannya di Sarawak bakal berada dalam situasi setiap Kristian Bumiputera berpotensi diancam kerana dilihat melanggar undang-undang dan boleh ditangkap pihak berkuasa kerana menggunakan perkataan ‘Allah’,” kata kenyataan itu yang ditandatangani Pengerusi SMF Rev Doran Tan dan Setiausaha Eksekutifnya Nelson Kee.

SMF menambah Kristian Bumiputera Sarawak akan didapati bersalah hanya kerana menggunakan perkataan ‘Allah’ yakni bahasa mereka sendiri untuk merujuk Tuhan sedangkan amalan itu telah dipraktikkan sejak ratusan tahun lalu.

SMF merupakan persatuan Kristian yang dianggotai pastor dan pemimpin-pemimpin agama Kristian daripada pelbagai kaum dan bahasa.

Keputusan mahkamah itu juga jelas melanggar prinsip undang-undang sejagat.

Bagaimanapun SMF bersama penganut Kristian mazhab Roman Katolik akan menunggu dan membuat kajian mengenai sebab-sebab keputusan kehakiman itu diambil sebelum memutus untuk melakukan langkah seterusnya.

“Buat masa ini, SMF meminta semua umat Kristian khasnya di negeri ini kekal bertenang dan tidak membuat sebarang kenyataan atau tindakan terburu-buru berhubung keputusan Mahkamah Rayuan ini,” ujar kenyataan akhbar itu.

Semalam Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Rayuan Putrajaya melarang The Herald, penerbitan mingguan Roman Katolik menggunakan perkataan ‘Allah’.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara di sini pada Isnin untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan perkataan ‘Allah’.

“Mengenai keterangan di hadapan kami juga, kami berpuas hati bahawa bahan rujukan yang mencukupi telah dipertimbangkan oleh Menteri (Dalam Negeri) dalam melaksanakan tugas dan kuasa berkanun mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Beliau berkata ia juga penghakiman mahkamah bahawa keadaan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam permit penerbitan The Herald melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.

“Ia merupakan dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama ‘Allah’ bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian,” kata Hakim Apandi yang membaca ringkasan keputusan itu.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.