Stor barangan cenderamata litar Sepang dipecah masuk

0

PUTRAJAYA: Stor barangan cenderamata di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) didapati dipecah masuk awal pagi semalam selepas kakitangannya menyedari ada kesan kerosakan pada stor itu pada kira-kira jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman berkata pihaknya menerima laporan daripada kakitangan SIC berhubung kejadian itu, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, antara barangan yang dilaporkan hilang ialah sebuah peti besi yang menyimpan hasil jualan cenderamata semasa perlumbaan Grand Prix Malaysia kelmarin dan sebuah laptop.

“Buat masa ini tiada tangkapan dibuat dan kerugian dianggarkan sekitar RM300,000,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, beliau dimaklumkan kakitangannya mengenai kejadian itu awal pagi semalam, dan polis sedang menyiasat. — Bernama