BN bawa banyak pembangunan ke Marudi, Baram: Ketua Kaum

0

MARUDI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membawa banyak pembangunan ke Marudi dan Daerah Baram ini khususnya sejak 50 tahun lalu, termasuk pembinaan Jalan Miri-Marudi yang menjadi mercu tanda pembangunan pekan ini.

Salah seorang ketua masyarakat di sini iaitu Ketua Kaum Kampung Dagang, Abdullah @ Dollah Piee, mengakui jalan tersebut yang telah diturap di bawah Projek Jiwa Murni merupakan salah satu pembangunan kerajaan kepada rakyat di sini dan memudahkan perjalanan penduduk tempatan ke Miri.

“Sebaliknya dahulu, kami terpaksa bergantung kepada pengangkutan bot ekspres yang memakan masa hampir tiga jam perjalanan, kalau dibandingkan dengan jalan raya yang hanya satu jam setengah sahaja.

“Selain pengangkutan air, penduduk di sini juga mempunyai pilihan iaitu pengangkutan udara, bagaimanapun ia bukan pilihan popular di kalangan penduduk kerana kos atau tambangnya yang mahal,” jelas beliau.

Abdullah memberitahu demikian kepada Utusan Borneo di sini ketika Majlis Pelancaran Pameran 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia di Dewan Suarah Baram di sini, barubaru ini.

Sehubungan itu, Abdullah berharap pada masa depan kerajaan BN dapat menaik taraf Jalan Miri-Marudi yang sedia ada agar lebih baik dan selesa untuk digunakan.

“Kami juga merayu dan memohon kepada pihak berkuasa agar mempercepatkan pembinaan jambatan di Sungai Arang supaya tidak membebankan pengguna feri yang dikenakan caj RM15 bagi satu perjalanan.

“Selain itu, kami memohon kepada kerajaan BN agar dapat menyediakan ‘feri kerajaan’ yang ditadbir urus oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk beroperasi di Sungai Baram kerana ia adalah untuk kemudahan rakyat di Marudi dan pekan kecil Long Lama,” katanya.